KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar universiti hampir menjadi mangsa jenayah siber apabila ditawarkan biasiswa palsu RM4,000 menerusi aplikasi ‘Telegram’ pada bulan lalu.
Kong Hui Yuan, 21, mendakwa kejadian berlaku apabila dia melihat tawaran biasiswa oleh seorang individu di sebalik nama ‘Dr. Sahira’ sebelum dia membuat permohonan menerusi aplikasi sama.
Dakwanya, permohonan itu kemudian diluluskan ‘Dr. Sahira’ selepas dia memberikan maklumat peribadi seperti salinan kad pengenalan, nombor akaun bank dan gambar passport.
“Individu ini aktif dalam banyak kumpulan ‘Telegram’ yang terdiri daripada ribuan pelajar universiti seluruh negara. Segala perbincangan atau transaksi juga dibuat di aplikasi itu.
“Selepas permohonan diluluskan, saya telah diminta membayar RM200 sebagai ‘deposit’ untuk biasiswa RM4,000 selain turut dijanjikan sebuah komputer tiba oleh individu terbabit,” dakwanya ketika ditemui di sini hari ini.
Hui Yuan yang curiga kerana dikenakan caj RM200 telah membuat carian di media sosial dan menemui hantaran dimuat naik Dr. Sahira yang sebenar.
Dakwanya, individu sebenar dalam hantaran menjelaskan namanya telah digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan penipuan.
“Saya kemudian membuat laporan polis pada 23 Disember lalu kerana bimbang identiti saya juga akan digunakan bagi tujuan menyalahi undang-undang.
“Saya kemudiannya mengambil iniasitif menyebarkan maklumat sebenar penipuan sindiket terbabit di kumpulan ‘Telegram’ menyebabkannya saya diugut oleh individu berkenaan,” dakwanya. – KOSMO! ONLINE