PADAWAN – Orang ramai dikejutkan dengan penemuan sebuah bot ‘misteri’ yang terdampar di tepi pantai Trombol, Telaga Air, di sini.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata bot itu dijumpai oleh orang awam dan melaporkan kepada Bilik Gerakan Marin Wilayah 5 Sarawak kira-kira pukul 12.15 tengah hari semalam.
Susulan itu, katanya pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan telah dikerahkan ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan dan mendapati ia adalah sebuah bot penyelamat.
“Hasil pemeriksaan mendapati objek itu merupakan sebuah bot penyelamat dipercayai terjatuh tanpa disedari dari kapal dagang Bohaimingzhu 2, berdasarkan pada nama yang tertera pada bot penyelamat tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau menambah bot penyelamat itu telah berjaya ditarik dari pesisir pantai Trombol dengan bantuan pasukan Maritim.
Bagaimanapun katanya, setakat ini bot penyelamat itu tersangkut di muara Trombol ketika ia sedang dibawa untuk dipindahkan ke jeti persendirian.
Abang Zainal berkata menurut pegawai maritim ketika ditemui di lokasi, usaha untuk menunda bot tersebut akan dilakukan esok. – KOSMO! ONLINE