QUITO, ECUADOR – Seorang lelaki di Ecuador sanggup menukar jantina dengan menjadi ‘wanita’ semata-mata ingin mendapatkan hak penjagaan dua anaknya, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Rene Salinas Ramos yang merupakan bapa kepada dua anak perempuan, berdepan perbicaraan mahkamah bagi mendapatkan hak penjagaan kanak-kanak tersebut. Dua kanak-kanak itu kini tinggal bersama ibu kandung mereka.
Menyedari bahawa sistem perundangan Ecuador memberi keutamaan kepada si ibu untuk menjaga anak-anak walau dalam apa keadaan sekali pun, Ramos membuat keputusan menukar jantinanya bagi mendapatkan hak sama rata.
Menurut lelaki itu, penukaran jantina tersebut tiada kaitan dengan kecenderungan seksual atau identiti gender kerana ia sekadar ‘ujian bagi perasaan sayang kepada anak-anaknya’.
Tambah Ramos, dia tidak bertemu dengan anak sulungnya selama setahun setengah, manakala anak keduanya kini menjadi mangsa dera.
Namun, selepas mengemukakan hujahnya kepada Lembaga Kantonal dan Perlindungan Hak, dia diberitahu bahawa sehingga perbicaraan itu selesai, kanak-kanak berkenaan perlu tinggal bersama ibu mereka.
“Sekarang, saya juga seorang ibu. Saya anggap diri saya begitu.
“Saya amat pasti mengenai kecenderungan seksual saya. Apa yang saya mahukan adalah untuk memberikan perlindungan dan kasih sayang yang boleh diberikan seorang ibu kepada anak-anaknya,” kata Ramos.
Minggu lalu, Ramos pergi ke Pejabat Pendaftaran Awam Azuay untuk menukar status jantina pada kad pengenalannya dan tidak lama selepas itu, dia secara rasmi bergelar seorang wanita.
“Undang-undang merampas hak kita untuk menjadi ibu bapa,” katanya sambil menambah, pihak berkuasa melihat kaum lelaki sebagai penyedia penjagaan yang mudah sekali gus meletakkan hak penjagaan anak-anak kepada ibu tanpa mengira situasi sekeliling. – Agensi