GUA MUSANG – Pasangan suami isteri orang kelainan upaya (OKU) tidak menjadikan kekurangan diri mereka sebagai alasan mengabaikan tanggungjawab untuk menjaga dua orang anak lelaki yang menghidap penyakit saraf.
Che Bah Omar, 46, yang cacat pada jari dan tangan sejak lahir dan suaminya, Rosli Yusof, 48, pula kudung kaki kanan akibat terkena mesin proses getah semasa bekerja di sebuah ladang di Sungai Terah di sini 20 tahun lalu.
Anak kedua mereka, Mohamad Rosnizam, 20, tahun turut mengalami penyakit saraf sehingga tidak mampu bergerak sejak 10 tahun lalu.
Anak keempat atau bongsu, Muhammad Syukri Aiman, 9, pula tidak dapat berjalan kerana mengalami penyakit saraf sejak berumur enam tahun.
Menurut Che Bah, sejak kedua-dua anak lelakinya tidak mampu bergerak sehingga menyebabkan mereka memerlukan bantuannya dan suami.
Katanya, kedua-dua anaknya itu hanya boleh duduk dan tidak mampu berdiri atau berjalan.
“Kami perlu menguruskan segala keperluan termasuk mandi dan untuk ke tandas. Saya perlu mengangkat mereka untuk mandi setiap hari kerana suami tidak boleh mengangkat beban yang berat.
“Sebelum ini, kedua-dua anak kami dilahirkan normal seperti kanak-kanak lain, namun segalanya berubah apabila mereka diserang demam panas.
“Rosnizam tidak mampu bergerak secara normal sejak berusia 10 tahun, manakala Syukri ketika umur enam tahun,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Lepan Jaya di sini baru-baru ini.
Che Bah berkata, suaminya yang kini memakai kaki palsu sudah tiga bulan tidak dapat turun menoreh getah kerana cuaca hujan, sekali gus menjejaskan pendapatan keluarga.
Katanya, bagaimanapun, mereka bersyukur apabila mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kira-kira RM1,000 sebulan untuk menampung kehidupan.
Sementara itu, Mohamad Rosnizam berkata, dia reda dengan ujian yang diterima dan bersyukur kerana kedua-dua ibu bapanya sudi menjaganya meskipun dua adik-beradiknya serba kekurangan.
Katanya, dia tidak dapat berjalan sejak 10 tahun lalu sehingga terpaksa berhenti sekolah ketika berada di tingkatan tiga.
“Sehingga kini, saya hanya mampu duduk menyandar dan ibu akan mengangkat saya untuk mandi dan ke tandas.
“Saya harap ada pihak yang sudi menyumbangkan kerusi roda yang lebih selesa dan sebuah katil pesakit bagi memudahkan keluarga menguruskan saya,” katanya.
Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menghubungi Mohamad Rosnizam di talian 017-903 6817 atau melalui akaun Bank Muamalat miliknya, 03070002065724.