BATU PAHAT – Gara-gara anak saudara menggunakan alamat rumahnya ketika berhutang dengan sindiket peminjam wang tanpa lesen atau ah long, seorang lelaki dijadikan mangsa ugutan untuk menagih hutang.
Malah bapa saudara berusia 40 tahun itu hidup dalam ketakutan apabila lintah darat berkenaan membakar bahagian belakang kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan Frontier pada 14 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asistan Komisioner Ismail Dollah berkata, penjenayah itu juga meninggalkan sekeping nota supaya melunaskan hutang yang dibuat anak saudara berusia 26 tahun.
Menurutnya, susulan kejadian itu, mangsa tampil membuat laporan polis pada 14 Disember di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat sebelum empat suspek termasuk seorang wanita diberkas di Kuala Lumpur
“Tangkapan suspek yang berusia 32 hingga 62 tahun itu dibuat oleh sepasukan anggota polis dari IPD Brickfield.
“Kesemua suspek kemudiannya diserahkan kepada IPD Batu Pahat semalam untuk tindakan selanjutnya,”katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Ismail berkata, siasatan awal mendapati anak saudara kepada mangsa disyaki berhutang dengan ah long yang tidak diketahui jumlahnya kerana gagal dihubungi walaupun sebelum sudah menjelaskannya kira-kira RM6,000.
Ujarnya, ahlong terbabit bagaimanapun tetap memintanya untuk menjelaskan hutang yang dipinjam oleh anak saudaranya sebelum menghilangkan diri dan gagal dihubungi.
“Selain tangkapan, polis turut merampas kenderaan yang digunakan suspek, buku nota, cat berwarna merah, satu botol air mineral yang mengandungi cecair disyaki petrol dan kad akaun bank tempatan yang digunakan dalam melakukan jenayah berkenaan,”katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang memperuntukan hukuman penjara tujuh tahun atau dikenakan denda, jika sabit kesalahan.-KOSMO! ONLINE