fbpx

‘Autotune’ sekadar instrumen – YHB Sleepsalot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YHB SLEEPSALOT

KANVAS muzik hip-hopnya masih berona atau berstatus hijau, namun semangat untuk terus mewarnai persada seni dizahirkan konsisten berisi kualiti hari demi hari.

YHB Sleepsalot barangkali satu jenama yang masih asing, namun pemilik nama lengkap Muhammad Yasin Husaini Saliman itu telah menjalin kerjasama atau kolaborasi dengan banyak nama besar jalur muzik tersebut seperti SonaOne, Joe Flizzow dan rapper kelahiran Indonesia, A. Nayaka.

Terbaharu, YHB hadir dengan single berjudul Tukar Currency yang merupakan ciptaan bersama RIIDEM dan SonaOne.

Idea penggubahan lagu tersebut datang daripada kepelbagaian keturunan orang Asia Tenggara, khususnya Singapura, Malaysia dan Indonesia yang sentiasa hormat antara satu sama lain.

DILAHIRKAN pada 30 Ogos 2001, YHB mengakui permulaannya dalam dunia muzik ketika remaja bertitik-tolak daripada obsesinya terhadap bintang popular, Justin Bieber.

‘Tak sombong mata wang Singapura’

“Idea lagu tersebut adalah untuk tunjuk kepada semua orang bahawa segalanya mengambil semangat pertukaran mata wang. Dari segi idea dan budaya sebab di sini semuanya sangat berbeza walaupun kita tinggal berjiran,” katanya kepada HibGlam.

Ditebak pertanyaan sama ada peluncuran lagu tersebut bertujuan memberitahu khalayak bahawa Singapura memiliki mata wang paling ‘berkuasa’, YHB tertawa dan menafikan hal terbabit.

“Tiada kena mengena dengan mata wang pun (ketawa). Bagi saya, mata wang atau currency tidak selalunya bermakna duit.

“Bagi saya, ‘currency’ juga membawa maksud persahabatan atau benda yang kita kongsi dengan rakyat negara lain. Senang cerita, terma tersebut bernilai lebih daripada sekadar mata wang,” ujarnya yang mula menulis lagu sendiri sedari usia 13 tahun.

Sedar dirinya mewakili generasi muda atau milenium, YHB berkata, muzik hip-hop sekarang sudah banyak berubah dan tidak lagi hanya dikait perkara klise seperti wanita tau hal kebobrokan.

“Kadang-kadang, dalam muzik video tak perlukan pun meletakkan wanita seksi atau perkara sebegitu. Saya sendiri mendapat banyak inspirasi muzik daripada Kanye West dan Drake.

“Selepas ini, saya ingin terus mencari rentak muzik bersesuaian dan bereksperimentasi lebih dengan hip-hop yang saya bawa buat khalayak,” terangnya.

MENGIDOLAKAN nama-nama seperti Drake, Kendrick Lamar dan Kanye West, YHB menyifatkan pemuzik terbabit sebagai alasan untuknya terus bersemangat menulis muzik dalam jalur hip-hop. – UNIVERSAL MUSIC

Selalu guna autotune

Meneruskan bicara, YHB bersyukur diberi peluang bekerjasama dengan banyak nama besar jalur muzik hip-hop walaupun naratif seninya masih terlalu muda untuk berbuat demikian.

Bercakap tentang kerjasama dengan Nakalness daripada kumpulan ForceParkBois dalam Tukar Currency, YHB mengakui, sangat menghormati haluan muzik kumpulan itu.

“Sebenarnya lagu dah siap tetapi ada satu lagi verse (baris) pada penghujung, namun saya sedar bahawa lagu ini tentang tukar currency.

“Disebabkan itu, adalah lagi ‘afdhal’ kalau saya dapatkan seorang rapper yang sangat saya kagumi.

“Nakal memang seorang pemuzik yang hebat. Saya sukakan muziknya, usia pun lebih kurang saya. Saya memang kagumi muzik ForceParkBois dan sebab saya mahukan dia dalam lagu ini,” katanya.

Sering menggunakan teknologi ‘autotune’ atau pemproses audio dalam muzik, YHB berpendapat, tiada masalah menggunakan autotune asalkan seseorang pemuzik itu tahu arah dan kekuatan muziknya.

Katanya, dia tidak hirau andai ramai menyifatkan dirinya sebagai penyanyi yang terlalu bergantung kepada autotune.

Baginya, itulah muzik dan sifat cabang seni yang universal.

“Autotune hanyalah software (teknologi komputer). Teknik itu membantu vokal kita ke depan untuk ‘hit’ nota yang tepat. Guna autotune tidak bermakna saya tak boleh menyanyi sebab saya bukan nak menyanyi pun sebenarnya.

“Selalunya, saya gunakan autotune sebagai instrumen. Misalnya, orang main gitar yang lekatkan pada plug dan kemudian bunyi kedengaran lebih baik. Begitu jugalah apa yang saya lakukan.

“Suara saya tanpa autotune sama sahaja. Tapi dengannya autotune, suara saya macam sedap sedikit (ketawa). Kalau buat persembahan live, kebanyakan masa saya menyanyi tanpa autotune,” ujarnya.

TIDAK kenal jemu, YHB akan sentiasa bereksperimentasi dalam muzik hip-hopnya.

Tulis lagu rujuk kamus Melayu

Berbicara tentang inspirasi penulisan lirik, apa yang mengejutkan, YHB mengakui terpaksa merujuk kamus demi menulis lirik dalam bahasa Melayu.

Akui YHB lagi, dia sememangnya tidak fasih berkomunikasi dalam bahasa Melayu, namun apabila menulis lirik dalam bahasa tersebut, lain ceritanya.

“Di bilik saya, ada Kamus Dewan berwarna merah. Kalau nak tulis lirik, kadang-kadang saya selak kamus helaian demi helaian.

“Tengok perkataan yang saya tak pernah dengar sebelum ini, datanglah idea. Kadang-kadang, saya rujuk Google Translate juga,” katanya.

YHB memberitahu, bahasa Melayunya sememangnya lemah, namun menerusi muzik hip-hop, dia dapat memperbaiki penguasaan bahasa Melayu.

Pada masa sama, YHB melihat bahasa yang disifatkan indah itu semakin lama, semakin ditelan zaman, terutama di kota metropolitan pesat membangun seperti Singapura.

“Secara semula jadinya, memang saya tak berbual dalam bahasa Melayu sebab tiada banyak peluang untuk berbuat demikian di Singapura.

“Sungguhpun begitu, kalau saya tulis lagu atau lirik, memang saya betul-betul duduk di meja dan fokus sepenuhnya terhadap bahasa Melayu. Kemudian, barulah saya tulis (lirik),” katanya menggulung bicara.

YHB merujuk kamus bahasa Melayu, Kamus Dewan untuk menulis lagu dalam bahasa ibundanya.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI