PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan delegasi dari Thailand diketuai Somphote Ahunai yang mewakili Energy Absolute Malaysia Sdn. Bhd.
Somphote merupakan individu yang digelar ‘Elon Musk of Thailand’, manakala Energy Absolute (EA) merupakan peneraju tenaga boleh baharu dan syarikat terkemuka industri teknologi hijau di Thailand.
Perdana Menteri berkata, EA mempunyai kekuatan modal pasaran sebanyak RM45 bilion dan ingin meneroka pasaran Malaysia.
“Mereka meneroka pasaran dengan berlandaskan prinsip-prinsip seperti mendukung, melabur dan mengangkat projek pemicu (pilot project) yang akan berkolaborasi dengan Computer Forms Malaysia Berhad (CFM).
“Ia bagi membangunkan industri teknologi hijau, pemindahan teknologi EV ke Malaysia, membina kilang pembuatan dan bekalan EV khususnya dalam sektor pengangkutan seperti bas elektrik, bas sekolah elektrik, bot elektrik, motosikal elektrik, bateri EV, kereta api elektrik, kereta mobil elektrik serta lain-lain dengan nilai RM5 billion,” katanya menerusi hantaran Facebook rasmi beliau tadi.
Anwar berkata, sebagai anggota Komuniti Ekonomi ASEAN dengan budaya dan warisan hampir sama, kerjasama antara Malaysia dan Thailand terus kukuh dengan semangat kejiranan tinggi menerusi kerjasama di pelbagai lapangan yang relevan. – KOSMO! ONLINE