fbpx

Tze Yong jadikan suku akhir sasaran pada setiap kejohanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TZE YONG berharap boleh tampil aksi konsisten dan tidak boleh kalah awal pada pusingan pertama atau kedua, sebaliknya layak sehingga ke pusingan suku akhir.

LAYAK sekurang-kurangnya ke pusingan suku akhir dalam setiap kejohanan menjadi sasaran utama perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong bagi mengharungi saingan musim ini yang dianggap lebih sukar.

Selepas berjaya menempatkan diri dalam kelompok 32 pemain terbaik dunia, pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu percaya, saingan 2023 akan lebih mencabar kerana bakal beraksi dalam kejohanan-kejohanan besar.

Tze Yong turut menjelaskan, dia perlu berada pada prestasi terbaik untuk memperbaiki kedudukan ranking ke kelompok 20 teratas memandangkan kutipan mata kelayakan Sukan ­Olimpik Paris 2024 akan bermula Mei depan.

“Tahun lepas saya dapat ma­suk dalam kelompok 32 terbaik dunia, jadi tahun ini akan sasar lebih tinggi, mungkin 20 teratas. Sudah tentu saya harap dapat capai sasaran yang diletakkan ini.

“Selain itu, saya juga harap boleh tampilkan aksi lebih konsisten dan tidak kalah awal dalam pusingan pertama atau kedua. Saya mahu sekurang-kurangnya layak ke pusingan suku akhir,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.

Berada dalam kelompok 32 teratas, pemain berusia 23 tahun itu berjaya menempah slot pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia yang dijadualkan berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil bermula 10 hingga 15 Januari ini.

Walaupun mengakui teruja dapat beraksi buat pertama kali dalam kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 1000, namun Tze Yong menganggap dia akan berdepan cabaran sukar kerana Terbuka Malaysia disertai pemain-pemain terbaik dunia.

“Sebenarnya saya agak teruja untuk saingan tahun ini dan sedia untuk tampilkan aksi terbaik pada Terbuka Malaysia nanti. Apa yang boleh saya janji adalah fokus sepenuhnya di dalam ge­langgang,” ujar pemain kelahiran Johor itu.

Pada pusingan pertama Terbuka Malaysia nanti, Tze Yong dijangka bertemu pemain No. 1 negara, Lee Zii Jia pada pusingan kedua sekiranya dapat melepasi halangan wakil Republik Ireland, Nhat Nguyen di pusingan pertama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI