fbpx

Tiada lagi toksik, Puteri Sarah urus hal tertangguh sebelum tunai umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUTERI SARAH

PETALING JAYA – Pelakon Puteri Sarah yang bakal mengerjakan umrah pada 26 Januari nanti memaklumkan mahu menguruskan dahulu beberapa hal yang tertangguh sebelum berangkat ke tanah suci Mekah.

Namun isteri kepada pengarah kontroversi, Syamsul Yusof itu enggan berkongsi urusan yang ingin dilunaskan, sama ada berkaitan rumah tangga atau perkara lain.

Puteri Sarah yang juga ibu kepada dua cahaya mata hanya menyatakan ‘tiada lagi toksik’ serta meminta semua pihak mendoakan kesejahteraan keluarganya.

“Cukup kalau saya katakan sekarang saya perlu uruskan dulu beberapa perkara penting memandangkan tarikh mengerjakan umrah semakin dekat.

“Saya ingin beribadah dengan tenang, tambahan pula kali ini saya dijemput ke Mekah bersama anak-anak yang bakal disertai pembantu peribadi dan pengasuh.

“Minta doakan semoga segala urusan kami dipermudahkan, begitu juga dengan kesihatan dan kesejahteraan anak-anak,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pelakon berusia 37 tahun itu baru kembali ke tanah air semalam selepas makan angin di Tokyo, Jepun bersama dua anaknya, Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah, 3.

Ditanya maklum balas berhubung pengakuan Syamsul yang mahu memperjelaskan kemelut rumahtangga mereka dalam waktu terdekat, Puteri Sarah akui lebih selesa untuk tidak memberi komen.

Sebaliknya dia teruja berkongsi mengenai rezeki mengerjakan umrah pada permulaan tahun baharu 2023 yang juga pelawaan daripada sahabatnya.

“Jika tiada aral ini umrah kali kedua saya bersama-sama anak-anak, selepas Mei tahun lalu. Saya mendapat tajaan daripada kawan baik saya dari Needleworks KL dan Insaff Travel Tropicana Aman.

“Saya sangat bersyukur Allah jemput saya dan anak-anak lagi dengan rezeki penajaan pula yang dijangka selama 13 hari. Tahun lalu kami pergi dengan perbelanjaan sendiri.

“Besar harapan saya untuk menunaikan haji tahun ini, namun rezeki umrah datang lagi, Alhamdulillah,” katanya yang sudah lima kali menunaikan umrah termasuk bersama suami.

Terdahulu, kemelut rumah tangga Puteri Sarah dengan Syamsul dikatakan sudah bermula sejak beberapa tahun lalu yang didakwa berpunca dengan kehadiran ‘orang ketiga’. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI