JUARA Grand Final Liga Profesional Mobile Legends Malaysia (MPL MY) musim ke-10, Team Haq Esports Club bermula langkah kiri pada Kejohanan Dunia edisi keempat (M4) di Bali United Studi, Indonesia kelmarin.
Team Haq terpaksa akur tewas kepada RRQ Akira dari Brazil, sekali gus gagal mengikut jejak satu lagi gergasi permainan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) negara, Todak sebelum ini.
Bagaimanapun, pengasas Team Haq, Muhammad Aimanulhaq Zaharudin percaya barisan pemainnya akan bangkit dalam perlawanan seterusnya menentang S11 Gaming Argentina dan The Valley dari Argentina hari ini.
“Saya memberikan kepercayaan penuh kepada barisan jurulatih dan juga pemain untuk kejohanan M4 ini. Saya juga percaya mereka akan mencuba yang terbaik untuk mendapatkan gelaran juara dunia.
“Walaupun kalah pada perlawanan pertama, saya masih yakin dengan prestasi pemain untuk pergi jauh pada kejohanan kali ini,” kata Aimanulhaq.
Pada masa sama, kekalahan itu membuktikan Team Haq masih perlu melakukan banyak persediaan rapi jika mahu memburu kemenangan dalam dua baki aksi Kumpulan D untuk mara ke playoff Upper Bracket.
Jurulatih Team Haq, Khairul Azman Muhammad Syarif juga merasakan kekalahan tersebut memberikan tamparan hebat buat pasukan dan mereka harus memperbaiki segala kelemahan yang ada sebelum dua perlawanan seterusnya.
Sebagai rekod, Team Haq berjaya mara ke Kejohanan Dunia M4 selepas mencetuskan sensasi dalam industri e-Sukan negara dengan menewaskan Todak 4-2 pada penampilan sulung mereka pada saingan MPL MY 10.