SEIRING bergeraknya masa, teknologi telah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat masa kini.
Malah, banyak teknologi yang memudahkan pelbagai urusan manusia telah dibangunkan.
Terkini, Automasi Proses Robotik (RPA) antara teknologi yang semakin pesat membangun.
Censof Holdings Berhad yang merupakan sebuah syarikat pegangan teknologi khusus dalam penyelesaian perisian pengurusan kewangan turut membangunkan RPA.
Dalam usaha mempromosi dan membangukan teknologi tersebut, anak syarikatnya, Cognitive Consulting Sdn. Bhd. (CCSB) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mewujudkan program latihan amali berkaitan RPA.
Ketua Pegawai Eksekutif CCSB, Zulkifli Ghairi berkata, RPA merupakan satu teknologi yang boleh menggantikan tugasan berulang-ulang yang dilakukan oleh pekerja.
“Dengan adanya teknologi ini kerja-kerja rutin seperti pengumpulan data dan sebagainya, RPA ini boleh lakukan.
“Jadi, pekerja boleh fokus kepada tugas yang lebih bernilai tinggi dan lebih strategik,” katanya.
Tambah Zulkifli, syarikatnya adalah sebuah syarikat tempatan yang memberi pengkhususan dalam RPA, Kecerdasan Buatan (AI) dan Pembelajaran Mesin (ML).
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan UKM bagi melengkapkan graduan bidang perakaunan terutamanya dengan pengetahuan RPA yang praktikal sebelum mereka masuk ke dalam pasaran kerja.
Melalui latihan praktikal itu boleh memperkasa graduan untuk menjadi sebahagian daripada tenaga kerja mahir ekonomi digital yang semakin berkembang di Malaysia.
“Kami menawarkan mereka peluang untuk belajar dan didedahkan kepada penyelesaian RPA kami.
“Malah, kini kebanyakan syarikat besar juga telah membangunkan serta menggunakan RPA ini dan graduan yang mempunyai pengalaman ini ada peluang cerah untuk mendapat pekerjaan,” jelasnya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM, Prof. Dr. Aini Aman berkata, teknologi RPA penting untuk pelajar perakaunan kerana kebanyakan tranformasi perniagaan berlaku dalam bidang perakaunan itu sendiri.
Menurutnya, RPA ini dapat mempercepat serta melancarkan proses pengumpulan data sehingga menyediakan laporan.
“Oleh itu, pelajar perakaunan perlu menguasai teknologi ini bagi membolehkan kerja dilakukan dengan lebih cekap dan efisien.
“Saya berharap kerjasama ini akan terus menyumbang kepada pembangunan dan kemahiran pelajar ke arah yang lebih berkualiti tinggi terutama dalam peningkatan kebolehpasaran mereka,” terangnya.
Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Mohammad Kassim menyifatkan kerjasama tersebut sangat baik untuk pembelajaran teknologi robotik khususnya RPA.
“Ia boleh menyumbang kepada pembangunan negara dan sangat sesuai dalam konteks negara yang kini bergerak ke arah ekonomi digital.
“Kerjasama erat dan usaha sama ini adalah penting bagi mencapai objektif melahirkan graduan yang lebih baik dari segi pengetahuan dan kemahiran di negara ini,” katanya.