fbpx

Polis rampas cecair, peranti vape berjumlah RM1.55 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada pelbagai jenis cecair vape dan peranti bernilai RM1.55 juta yang berjaya dirampas dalam OP Bersepadu Kontraban

JOHOR BAHRU – Polis Johor menahan tiga individu termasuk seorang wanita dan merampas 2,753 kotak cecair dan rokok elektronik (vape) bernilai RM1.55 juta di sebuah premis Jalan Eco Perniagaan 1/2, Taman Eco Perniagaan, di sini semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam serbuan pukul 12.30 tengah hari itu, kesemua individu yang ditahan berusia 22 hingga 25 tahun.

Beliau berkata, hasil siasatan yang dijalankan mendapati kesemua suspek adalah pekerja dan penjaga premis terlibat dengan penjualan pelbagai jenis cecair dan peranti vape.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 53,421 pek yang mengandungi pelbagai jenis cecair vape bernilai RM1.29 juta serta peranti dan aksesori vape berjumlah RM253,048.

“Polis masih menjalankan siasatan untuk mengesan sudah berapa lama kegiatan menjual cecair dan peranti vape secara atas talian ini dijalankan,” katanya pada sidang media di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, di sini hari ini.

Difahamkan, cecair vape yang dirampas itu mengandungi kandungan nikotin yang melebihi daripada dibenarkan menerusi Akta Racun sekali gus membahayakan pengguna.

Kamarul Zaman berkata, pihaknya akan melakukan analisa terhadap cecair vape yang dirampas itu untuk mengenal pasti sama ada kandungan cecair itu mengandungi bahan terlarang yang lain.

Katanya, kesemua suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan dijalankan.

“Polis menasihatkan mereka yang terbabit dengan aktiviti penjualan cecair vape dan peranti rokok elektronik supaya menghentikan segera penjualan produk berkenaan.

“Di Johor tidak dibenarkan sebarang penjualan cecair dan peranti vape oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ia telah digazetkan sebagai kesalahan di negeri ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952 dan Akta Kastam 1967.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI