TANAH MERAH – Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dari Kampung Gobek di sini hilang dan tidak pulang ke rumah selepas dipercayai mengikut rakan lelakinya pada Sabtu lalu.
Norismidawati Abdullah dipercayai hilang kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada hari tersebut selepas meminta izin untuk keluar rumah daripada bapa tirinya, Ahmad Saberi Awang Lah,43.
Ahmad Saberi berkata, anaknya itu meminta izin untuk keluar dengan seorang lelaki yang baru dikenali menerusi telefon.
Menurutnya, selepas keluar, dia tidak pulang-pulang ke rumah sehingga hari ini.
“Apabila dia tidak pulang ke rumah kira-kira pukul 6 petang pada Sabtu lalu, terus meminta kerjasama pihak polis untuk mengesan Norismidawati kerana bimbang dengan keselamatannya.
“Sebelum ini, dia tidak berani keluar seorang diri atau dengan mana-mana rakannya. Saya dan isteri akan bergilir-gilir menghantar selain mengambilnya di sekolah setiap hari,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Ahmad Saberi merayu kepada orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut supaya dapat mengesan anak sulungnya itu.
Katanya, dia dan keluarga berharap Norismidawati berada dalam keadaan selamat tidak kira walau di mana dia berada.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai anaknya diharap melaporkan kepada pihak polis atau terus menghubunginya di talian 019-385 8919. – KOSMO! ONLINE