PETALING JAYA – Taman Tema Nextgen melancarkan outlet pertamanya di 1 Utama di sini yang diiktiraf oleh Malaysian Book of Records (MBOR) sebagai taman tema edutainment dalam bangunan terbesar di negara ini.
Pusat seluas 4,180 meter persegi itu menyediakan pelbagai tarikan mesra keluarga termasuk kawasan permainan untuk bayi, laluan berhalangan, taman permainan bertemakan langit dengan gelongsor pelangi, zon permainan elektronik dan karaoke.
Ia menampilkan lima zon pengalaman yang memenuhi kumpulan umur dan tahap pertumbuhan yang berbeza iaitu zon hiburan, pengayaan, pengalaman, penglibatan dan pemerkasaan.
Pengasas Bersama Nextgen, Leroy Lee berkata, hiburan dan teknologi telah mengubah setiap aspek masyarakat dan pihaknya berharap dapat menerapkannya untuk membawa industri pendidikan tempatan ke peringkat seterusnya.
“Pusat Nextgen ini adalah yang pertama dibuka di sini dan banyak lagi bakal diwujudkan untuk membantu kanak-kanak mengembangkan pelbagai kemahiran sambil berseronok dalam usaha membina generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dalam tempoh dua bulan selepas prapelancarannya, Nextgen telah menarik lebih 100,000 pengunjung daripada semua peringkat umur.
Ia berhasrat berkembang lebih jauh di Lembah Klang dan Wilayah Selatan Semenanjung pada suku kedua tahun ini, dengan dua cawangan baharu bakal dibuka di Mid Valley Southkey, Johor Bahru dan KSL Mall, Klang.
Ini ketika pasaran edutainment sedang berkembang di seluruh dunia, dengan jangkaan penilaian sebanyak AS$3.45 bilion (RM15.7 bilion) menjelang 2028. -KOSMO! ONLINE