PETALING JAYA – Dua pelakon popular, Meerqeen dan Anna Jobling sekali lagi lolos dalam senarai 100 selebriti kacak serta jelita pilihan TC Candler bagi 2022.
Meerqeen atau Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 21, berada dalam kedudukan ke-55 bagi Wajah Kacak, manakala Anna di tangga ke-84 untuk Wajah Jelita.
Bintang Melur Untuk Firdaus itu juga menjadi satu-satunya artis Malaysia yang lolos dalam kategori masing-masing seperti diumumkan dalam laman rasmi media antarabangsa berkenaan pada 28 Disember lalu.
Turut berada pada kedudukan 50 kategori lelaki, Meerqeen sebaris dengan Mizukami Koshi (50), Minggu (52) dan BTS Jin (57) dengan pelakon Superman, Henry Cavill di tempat pertama.
Senarai wanita pula menyaksikan model Amerika Syarikat, Jasmine Tooks di tangga teratas disusuli dua artis Korea Selatan, Nancy Jewel McDonie dan Lisa Blackpink.
Senarai tahunan 100 Tercantik/Terkacak itu dimulakan TC Candler sejak 1990 bersama The Independent Critics di mana ia diiktiraf sebagai antara yang paling berprestij dan diperakui di seluruh dunia.
Pencalonan dibuat berdasarkan undian dan komen yang dihantar peminat ke saluran YouTube rasmi TC Candler sebelum pemilihan terakhir untuk 100 Wanita Tercantik dan 100 Lelaki Terkacak dibuat.
Meerqeen dan Anna atau nama penuhnya Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 24, tahun lalu turut menempa sejarah peribadi apabila berada dalam senarai sama.
Terdahulu, tahun 2021 menyaksikan Tabby dari kumpulan Dolla menjadi wakil tunggal Malaysia, manakala Mira Filzah dan Fattah Amin pula tersenarai pada 2020. – KOSMO! ONLINE