KUALA TERENGGANU – Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan perkhidmatan venir atau pemasangan lapisan pemutihan gigi tanpa tauliah pada tahun lalu.
Tertuduh, Norazia Abdul Rahman, 41, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menyediakan perkhidmatan pemasangan venir tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik hotel di bandar raya ini pada pukul 5.55 petang, 20 Ogos 2021.
Norazia didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta 586 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM300,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kosmo! 13 Februari 2022 mendedahkan ‘doktor gigi’ palsu semakin giat memerangkap memerangkap mangsa dengan menawarkan perkhidmatan venir tanpa tauliah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pengerakan (PKP).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Nor Hisham Abdullah kemudiannya mengarahkan operasi besar-besaran membanteras aktiviti ‘doktor gigi’ palsu dan melancarkan kempen ‘Katakan Tidak kepada Doktor Gigi Palsu’. – KOSMO! ONLINE