KUALA LUMPUR – Perbicaraan bela diri Siti Bainun Ahd Razali atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down Bella yang ditetapkan esok selama dua hari ditangguhkan sementara.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata penangguhan sementara (interim) itu dibuat bagi menunggu keputusan permohonan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan Siti Bainun supaya dua pertuduhan yang didakwa ke atasnya disemak semula.
“Saya membenarkan penangguhan interim pada 5 dan 6 Januari sahaja. Tarikh 13 Januari ini untuk keputusan permohonan bantahan awal pihak pendakwaan,” katanya.
Terdahulu, semasa prosiding peguam bela Siti Bainun, P.G Cyril, berkata hakim mempunyai budi bicara untuk menerima permohonan semakan itu atau sebaliknya.
“Kami bergantung kepada hujahan bertulis yang difailkan membabitkan alasan permohonan berkenaan.
Pembelaan juga perlu memberi perkembangan kes ini di Mahkamah Sesyen hari ini kerana bicara bela diri mula esok, sebab itu kami mohon ia ditangguh sementara,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, membantah penangguhan bicara bela diri itu.
“Kami sudah serahkan salinan hujahan bertulis dan ia sama seperti afidavit difailkan,” katanya.
Dalam pada itu, di Mahkamah Sesyen, Hakim Izralizam Sanusi melapangkan tarikh bicara bela diri yang telah ditetapkan esok dan lusa.
“Pada 13 Januari ini, pihak-pihak perlu memaklumkan kepada mahkamah ini mengenai perkembangan keputusan di Mahkamah Tinggi,” kata hakim Izralizam
Sebelum ini Mahkamah Sesyen di sini menetapkan tarikh perbicaraan bela diri terbabit selama 25 hari iaitu 5, 6, 16 hingga 20, 26 dan 27 Januari (sembilan hari) diikuti 20 hingga 24, 27 dan 28 Februari (tujuh hari) dan 6 hingga 10, 27 hingga 30 Mac (sembilan hari).
Dalam notis usul yang difailkan pada 30 November tahun lalu dengan menamakan Pendakwa Raya selaku responden, Siti Bainun memohon untuk menyemak dua pertuduhan tersebut apabila Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam tidak mempertimbangkan isu berkenaan pertuduhan-pertuduhan itu yang didakwa defektif (cacat) dan prejudis ketika memerintahkannya membela diri.
Siti Bainun turut mendakwa, perintah Hakim Mahkamah Sesyen itu untuk memanggilnya membela diri pada 24 November adalah batal dan tidak sah kerana gagal menilai kecacatan pertuduhan-pertuduhan di dalam penghakiman yang dibacakan di mahkamah terbuka pada hari berkenaan.
Sebelum ini, Siti Bainun disahkan diberi sijil cuti sakit (MC) selama 22 hari berakhir 19 Disember lalu akibat masalah kesihatan.
Siti Bainun dijangkiti bakteria yang memerlukan pengambilan antibiotik selama 15 hari sebelum menjalani pembedahan hempedu hasil prosedur perubatan diagnostik atau endoskopi dan ujian darah di hospital.
Mengikut pertuduhan, Siti Bainun, 30, didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, perbuatan itu membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada 28 Oktober lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi pada perbicaraan kes itu yang bermula 30 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE