fbpx

Burger tepi jalanan lebih sedap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

“Bang, saya nak burger ayam special, campur sos dan mayonis lebih, cheese meleleh dan tidak mahu bawang,” sapa seorang pelanggan sebaik singgah di sebuah kios menjual burger di tepi jalan lantas pengusaha tersebut mengangguk dan menulis sesuatu di atas kertas pesanan agar mudah disediakan menu tersebut.

Sambil menunggu burger dimasak, jika tiada ramai pelanggan, pengusaha burger itu pasti boleh diajak berbual tentang pelbagai isu. Rata-rata mereka ramah berbual jika tidak sibuk sambil tangan ligat menyiapkan satu persatu pesanan pelanggan.

Itu suasana biasa dilihat di kios penjual burger di tepi jalan atau di lokasi strategik yang menjadi tumpuan ramai, yang mana pelanggan menjadi ‘raja’, boleh membuat pelbagai pilihan bersesuaian dengan selera dan bajet.

Asalkan ia logik untuk disediakan, pengusaha burger yang rata-ratanya terdiri daripada orang muda mampu memenuhi pesanan pelanggan, malah ia berbaloi dengan wang ringgit yang dibayar kepada peniaga tersebut.

Pelbagai menu burger ditawarkan berasaskan telur dan daging serta ayam, tetapi kini dipelbagaikan kepada daging kambing, oblong dan juga wagyu.

Selain itu, ia dikombinasikan dengan pilihan keju, mayonis pelbagai pilihan sos dan sayur seperti timun, tomato dan bawang yang pasti menambat hati pelanggan bukan sahaja orang dewasa, warga emas dan kanak-kanak.

Pelanggan boleh membuat pilihan bijak mengikut bajet masing-masing serendah RM3 sehingga lebih RM20 sama ada mahu menikmati burger dengan tiga atau dua lapis daging disalut telur, daging yang dikombinasikan dengan keju, mayonis dan telur, burger tanpa sayur dan tanpa sos.

Berbeza dengan tawaran pelbagai menu burger di outlet berjenama popular dan utama di seluruh negara, pelanggan hanya perlu memilih menu sedia ada.

Industri jualan burger ‘tepi jalan’ sudah lama dibangunkan anak tempatan hingga menjadi salah satu punca rezeki lumayan kepada usahawan berminat.

Sehingga kini ia agak terpinggir dan tiada perubahan drastik dilihat untuk menaikkan populariti jenamanya di pasaran domestik.

Pastinya ada yang tidak kena dengan industri tersebut sedangkan ia berpotensi, malah semakin ramai masyarakat lebih terdorong membeli burger terkenal di pelbagai lokasi di pusat beli-belah serta outlet pandu lalu.

Kini atas desakan kos yang semakin meningkat, ada burger kegemaran ramai yang semakin mengecil dengan saiz daging yang nipis dan rasa enaknya semakin kurang, tetapi harga ditawarkan agak mahal.

Ramai yang mengeluh dengan perubahan drastik saiz burger dan rasanya yang semakin ‘hilang’ saban tahun sehingga mula mencari pilihan menu burger lain.

Inilah peluang yang terbuka luas kepada usahawan burger tepi jalan untuk mencuri ruang dan peluang keemasan tersebut. Mereka seharusnya keluar daripada zon selesa, selain mengubah minda dan pelan pemasaran lebih agresif untuk meningkatkan jenama masing-masing.

Trend berniaga kini semakin berubah, banyak peluang pembiayaan ditawarkan oleh kerajan dan institusi kewangan untuk memoden perniagaan sedia ada, malah peluang untuk berguru dengan mentor perniagaan berjaya juga semakin terbuka luas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI