fbpx

Kes Inspektor rogol remaja disiasat secara telus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

ALOR SETAR – Polis memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara telus dan adil berhubung kes seorang pegawai berpangkat Inspektor didakwa merogol remaja perempuan berusia 16 tahun pada 28 Disember lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian rogol itu kira-kira pukul 1.31 pagi, 31 Disember lepas.

“Kejadian melibatkan suspek yang merupakan seorang pegawai kanan polis bertugas sebagai pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan.

“Mangsa pula merupakan seorang remaja perempuan yang merupakan pengadu bagi satu kes polis yang lain dengan suspek adalah pegawai penyiasat bagi kes tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, suspek telah ditahan dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

“Suspek kini direman untuk tujuan siasatan sehingga esok,” ujarnya.

Menurutnya, siasatan kes itu kini dijalankan oleh pegawai kanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

“Kertas siasatan kemudian akan dirujuk kepada pengarah pendakwaan negeri dalam kadar segera agar penjenayah dapat dibawa ke muka pengadilan walaupun pesalah merupakan warga PDRM tanpa kompromi,” jelasnya.

Tambahnya, pihaknya memberi jaminan siasatan yang telus, adil dan saksama serta orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman dan kredibiliti PDRM serta mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas inspektor berkenaan memanggil mangsa ke pejabatnya untuk membuat siasatan setelah remaja terbabit mendakwa dia dirogol bapa tirinya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI