PETALING JAYA – Pengorbanan pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor bulan lalu dihargai selepas sepasang suami isteri yang terselamat dalam tragedi yang mengorbankan 31 nyawa bertemu mereka kelmarin.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hulu Selangor, Kapten (PA) Hilmi Husman berkata, dia berasa sebak dapat berjumpa semula dengan pasangan tersebut yang diselamatkan pada hari kejadian 16 Disember lalu.
Pertemuan itu sekali gus mengimbau kembali detik-detik cemas beliau dan pasukannya menyelamatkan suami isteri tersebut, namun anak lelaki mereka berusia tujuh tahun meninggal dunia.
Cerita Hilmi, semasa kejadian, wanita itu dan anaknya berada di dalam kenderaan jenis Nissan Xtrail, manakala suaminya pula tidur di dalam khemah.
“Lelaki itu merupakan orang pertama yang menghubungi talian kecemasan. Dia hanya mampu melihat anggota melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dari jauh. Kami antara pasukan terawal yang tiba di lokasi.
“Sebaik sampai, saya terdengar bunyi hon berkali-kali dan mendapati sebuah Nissan Xtrail terbalik. Mangsa menekan hon guna kaki, jadi kami terpaksa pecahkan cermin. Mangsa meminta supaya selamatkan anaknya di kerusi belakang,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Hilmi memberitahu, pada mulanya pihaknya tidak sampai hati untuk memberitahu anak pasangan itu sudah meninggal dunia, namun dia berbuat demikian apabila suasana sudah reda.
Jelasnya, ketika dibawa keluar, wajah kanak-kanak itu bersih tanpa luka, bermungkinan meninggal dunia akibat hentakan kuat berikutan keadaan kenderaan yang terbalik.
Pada pertemuan itu, pasangan tersebut turut menunjukkan video ulang tahun anak mereka pada Oktober lalu.
Pertemuan itu turut dihadiri Leftenan Muda (PA) Mohammad Amin Rosdi dan Staff Muda (PA) Mohd. Firdaus Abd. Samad.
“Walaupun pertemuan ini tidak dirancang pada awalnya kerana mereka mahu melihat kenderaan, namun ia sangat bermakna buat kami. Mereka turut memberikan kad ucapan penghargaan buat pasukan SAR yang terlibat dalam operasi tersebut,” katanya.
Tambah Hilmi, biarpun baru kehilangan anak kira-kira dua minggu lalu, pasangan suami isteri tersebut kelihatan tabah meneruskan kehidupan.
“Memang saya tidak akan melupakan pengalaman ini, malah ia meninggalkan kesan yang sangat besar buat diri saya yang sudah 13 tahun berkhidmat dalam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.
Hilmi menganggap kehadiran mangsa tragedi tanah runtuh itu sebagai penghargaan yang tidak ternilai.
“Bantuan yang diberikan sepanjang kerjaya sebagai pasukan penyelamat tidak pernah saya harapkan balasan walaupun ungkapan terima kasih. Saya sendiri rasa berpuas hati jika dapat membantu mereka yang memerlukan,” katanya lagi.
Dalam kejadian pada 16 Disember lalu, seramai 31 mangsa terkorban, manakala 61 lagi terselamat termasuk ada yang mengalami kecederaan dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands.
Operasi SAR berakhir pada hari ke sembilan apabila mangsa terakhir, Huang Shaoqi, 11, akhirnya ditemui.