PETALING JAYA – BMW Motorrad Malaysia mengumumkan ketibaan jentera ‘Bagger’ BMW K 1600 B baharu pada harga RM173,500.
Pengarah Urusannya BMW Group Malaysia, Hans de Visser, pihaknya berbesar hati untuk membawakan sebuah motosikal berkuasa tinggi untuk peminat motosikal pengembara di negara ini.
“Dengan BMW K 1600 B baharu, para pelanggan kami akan dapat merasai sendiri sebuah jentera mewah berprestasi tinggi yang sebenar.
“Jentera ‘Bagger’ baharu ini berkonsepkan ‘The Spirit of the Open Road’, kerana ia menjadikan setiap jalan raya, penjelajahan dan detik menunggangnya pasti akan tersemat dalam ingatan penunggang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Visser menerangkan, model tersebut ditawarkan dalam warna Black Storm Metallic dan Manhattan Metallic Matte (Style Exclusive) yang mana jentera ini menggayakan cermin hadapan yang lebih singkat serta seksyen belakang yang lebih menonjol bersama indikator LED dan lampu brek pada peti sisinya.
“Model ini menggunakan enjin sebaris enam silinder empat lejang yang disejukkan dengan minyak atau air menjadi jantung jentera ini dengan kapasiti 1,649 cc serta mampu menjana 160 hp pada paras 6,750 rpm.
“Nilai tork maksimum mencecah 180 Nm pada paras 5,250 rpm mampu menjana kuasa tujahan yang mengagumkan, membolehkan motosikal ini mencapai kelajuan maksimum berkadar 200 kilometer sejam (kmj) (180 kmj jika bersertakan panel pemijak),” jelasnya.
Tambah beliau, penunggang juga dapat memanfaatkan bantuan mengundur yang didatangkan sebagai standard.
“Kadar penggunaan bahan api BMW K 1600 B direkodkan pada paras 5.9 liter bagi setiap 100 km.
“Komponen alternator yang melengkapi jentera ini hadir dalam bentuk generator tiga fasa 700 W (kuasa nominal) yang dipadankan dengan bateri bebas penyenggaraan 12 V/26 Ah,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE