fbpx

Hakisan Pantai Teluk Nipah makin serius

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hee Min (kanan) ketika mengunjungi Pantai Teluk Nipah di Pulau Pangkor semalam.

LUMUT – Universiti Teknologi Petronas (UTP) menegaskan projek kawalan hakisan perlu dilaksanakan dengan segera di Pantai Teluk Nipah memandangkan masalah tersebut didapati semakin serius sejak 2017.

Ketua projek pemuliharaan lestari pantai berkenaan, Dr. Teh Hee Min berkata, kesan hakisan di lokasi peranginan tersebut dapat dilihat dengan jelas menerusi beberapa kerosakan pada struktur bangunan di pesisir pantai itu.

Katanya, benteng batu sepanjang 50 meter yang dibina pada 2019 juga telah mengalami kerosakan memandangkan ombak di pantai tersebut begitu kuat.

“Bagaimanapun, buat masa ini, benteng batu itu masih lagi merupakan cara terbaik bagi menangani ombak di Pantai Teluk Nipah.

“Begitupun, bagi jangka masa panjang, kita berharap dengan adanya kerjasama Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Manjung dapat melaksanakan projek pemuliharaan pantai berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan tapak di Pantai Teluk Nipah dan Coral Beach di Pangkor semalam.

Pada masa sama, Hee Min berkata, jarak garis pantai dengan struktur bangunan di pantai tersebut adalah terlalu rapat iaitu kurang dari 30 meter.

Menurutnya, projek pemuliharaan lestari tersebut diharapkan dapat meningkatkan jarak garis pantai sehingga 60 meter dari yang direkodkan ketika ini.

Beliau turut menegaskan, projek berkenaan tidak akan menghalang sosioekonomi penduduk setempat kerana memahami rata-rata mereka menjalankan perniagaan di sana.

“Apa yang kita mahu wujudkan adalah satu persekitaran yang lestari iaitu memulihara kawasan pantai tersebut serta meningkatkan sosioekonomi golongan peniaga di Pantai Teluk Nipah.

“Selain ombak yang kuat, aktiviti manusia turut menyumbang kepada risiko hakisan di sepanjang pantai tersebut. Jadi kita mahu membantu daripada sudut berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI