APLIKASI TikTok antara media sosial paling popular di dunia dan harus diakui bahawa ramai bintang baharu bahkan penyanyi sedia ada meraih populariti, bahkan berpaksikan platform tersebut sebagai tempat mengetengahkan karya mereka.
Hal yang sama juga berlaku kepada penyanyi muda asal Filipina, Zack Tabudlo apabila hit dendangannya berjudul Pano kerap dimainkan berulang kali dalam pelbagai platform digital sehingga mencetus fenomena.
Fenomena penyanyi tampan itu mula tercipta di negara asalnya, Filipina, kemudian menular ke Indonesia dan akhirnya singgah di Malaysia.
Pano nyanyian karya santai Zack dijangka menjadi sebuah karya hit di rantau ini.
Menariknya, irama berhantu lagu tersebut begitu mudah mencuri perhatian pendengar sebaik sahaja diputarkan bahkan diulang berkali-kali oleh pendengar.
Keajaiban yang memihak kepada lagu Pano adalah contoh mudah bagaimana muzik Filipina begitu senang diterima di Malaysia.
Istilah ‘pano’ dalam bahasa Filipina yang bermaksud ‘bagaimana’ pada sama dilihat menjadi tiket buat Zack meraih lebih banyak peminat di luar negara kelahirannya.
Justeru, Zack atau nama sebenarnya Zack Nimrod Tabudlo, 21, berharap agar pendengar baharu di Malaysia agar sentiasa mendengar karya-karya terkini daripadanya selepas ini.
“Saya berharap mereka akan mendengar lebih banyak lagu baharu saya pada masa hadapan. Apa yang pasti, lagu baharu lebih menyeronokkan berbanding Pano dari segi gaya dan genre untuk mereka nikmati sambil berhibur.
“Biarpun hanya sebuah lagu cinta yang mudah, Pano mengangkat kisah hati yang patah dek kekejaman pasangan yang memutuskan perhubungan.
“Cerita sebegitu sesuatu yang dekat dengan peminat serta mudah dirasai,” jelas Zack.
Demi membuat peminatnya lebih teruja, Zack menerusi media sosial mengumumkan Pano sebenarnya adalah sebahagian daripada sebuah trilogi yang lebih besar.
Sebagai artis yang kerap menentang kebiasaan, dia teruja untuk memberikan lebih banyak kejutan buat peminatnya.
Zack melancarkan tiga bahagian video muzik berjudul PANO: THE TRILOGY yang memuatkan karya Anghel, Yakap dan Pano yang sering menjuarai carta.
Trilogi tersebut dibintangi Zack bersama pelakon jelita Filipina, Kira Balinger.
Artis muda itu percaya bahawa meskipun berpijak di bumi yang nyata, dia tetap akan mengejar impiannya untuk menakluki ‘mimpi’ melalui muzik.
Baginya penyanyi yang dikesan bakat sejak usia 10 tahun menerusi sebuah rancangan realiti Filipina berjudul Talentadong itu, muzik adalah sebuah impian.
Bermula dari situ, dia terus menggegarkan industri seni negara asalnya sewaktu menjadi peserta The Voice Kids Philippines 2014.
Memulakan kerjaya solo pada 2018, dia kemudian menceburi dunia penulisan dan penerbitan lagu selain membuat persembahan.
Pada 2020, Zack menyertai Island Records Philippines dan terus mencipta identiti sebagai seorang pemuzik profesional.
Setahun berlalu, dia kemudiannya melancarkan lagu tular berjudul Binibini yang menaikkan lagi namanya sehingga menempatkan diri di kedudukan teratas Spotify selama enam minggu berturut-turut, sekali gus menduduki tempat pertama paling lama dalam carta.
Zack juga melancarkan album sulung, Episode dan single Pano pada hujung 2021. Pano juga mendominasi tempat teratas carta Spotify untuk sembilan minggu berturut-turut, melintasi rekod Binibini yang menghuni carta selama enam minggu.
Untuk tahun ini, album sulung Zack Episode kekal selama 18 minggu di tempat pertama dalam senarai Album Mingguan Top Spotify di Filipina, dengan lebih satu bilion penstriman dan tontonan.