LONDON – Tonggak pertahanan Tottenham Hotspur, Clement Lenglet mungkin menaikkan kemarahan rakan sepasukan selepas menuduh mereka bermain secara tidak tersusun selain kurang semangat profesional.
Spurs memulakan aksi 2023 dengan langkah kiri selepas tewas mengejut 0-2 kepada Aston Villa di laman sendiri Ahad lalu sehingga dicemuh penyokong sendiri sebaik sahaja perlawanan tamat.
Justeru, Lenglet berharap mereka menjadikan kekalahan tersebut sebagai iktibar bagi memastikan Spurs bangkit ketika berdepan Crystal Palace dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Selhurst Park awal pagi esok.
“Kami semua tidak mahu memulakan tahun baru dengan keputusan sebegini. Apa yang pasti, saya dan rakan sepasukan bermain secara tidak tersusun ketika menentang Villa dalam perlawanan terdahulu.
“Saya tahu tidak mudah untuk kami bangkit selepas kekalahan tersebut, namun semua pemain perlu pastikan permainan akan menjadi lebih baik apabila turun bertemu Palace nanti,” kata pemain pinjaman dari Barcelona itu.
Pemain antarabangsa Perancis itu turut menggesa pemain-pemain pertahanan supaya meningkatkan kualiti permainan selepas menyaksikan Spurs ketinggalan dalam 10 perlawanan berturut-turut.
“Kami perlu ubah sesuatu dalam pasukan jika tidak mahu perkara ini berulang. Memang kami buat banyak latihan sepanjang minggu, tetapi tidak ada keserasian, jadi ia menyebabkan pasukan berada dalam keadaan sukar apabila lawan menjaringkan gol,” ujarnya. – AGENSI