Pengurus Atuk Wenger teruja jadi pemenang
Pasukan Atuk Wenger yang dikendalikan oleh Zaid Zul mengakui keputusan untuk ‘termakan’ rayuan kawan dengan menyertai Liga Fantasi Kosmo! membuahkan hasil apabila pasukannya muncul pemenang Top 5 minggu ini.
Menurut Zaid atau nama sebenarnya, Razaid Dzkulfli, pada awalnya dia tidak berminat untuk bersaing pada Liga Fantasi Kosmo! sebelum mengubah keputusan untuk mendaftar secara rasmi sebelum tarikh ditutup pada November lepas.
“Secara jujur, saya hanya mendaftar dalam saingan liga anjuran Kosmo! pada Oktober selepas termakan hasutan kawan kerana mereka percaya saya boleh menang memandangkan kutipan yang diraih setiap minggu agak tinggi.
“Malah, mereka suruh saya berbuat demikian memandangkan tarikh pendaftaran akan ditutup pada November lepas dan saya gembira pulangannya cukup berbaloi kerana saya menang minggu ini.
“Mengenai pasukan, tiada apa yang berbeza kerana saya juga memiliki pemain-pemain yang ramai pasukan lain miliki seperti Erling Haaland dan Martin Odergaard tetapi apa yang membezakan adalah kehadiran Luke Shaw,” katanya.
Dirgahayu sasar kemenangan hatrik
TUAH nyata memihak kepada pasukan Dirgahayu apabila sekali lagi menjadi salah satu pemenang mingguan saingan Liga Fantasi Kosmo! 2022/23 bagi perlawanan minggu ke-18 yang berakhir kelmarin.
Setakat ini, skuad kendalian Muhammad Sidqi Mat Kamil itu sudah dua kali memenangi aksi mingguan Liga Fantasi Kosmo! dan tekad untuk mencatat kemenangan hatrik menjelang perlawanan akan datang.
Percaturan bijak menggunakan chip ‘triple captain’ juga menjadi salah satu faktor kemenangan pasukan itu selepas mengambil kira ramai pengurus tidak menggunakannya pada pertengahan musim.
“Ini kali kedua saya menjadi salah seorang pemenang untuk Liga Fantasi Kosmo! dan pasukan ini memang khas untuk aksi mingguan kerana saya mendaftarkan tiga pasukan pada saingan 2022/23.
“Saya sudah jangka menang untuk minggu ke-18 kerana menggunakan ‘triple captain’ ke atas (Erling) Haaland. Kalau ada rezeki, sudah tentu saya mahu kemenangan hatrik bagi aksi mingguan,” katanya.
Odegaard wira buat pasukan Syaqif Al-Rizq
KEYAKINAN penuh yang diberikan ke atas kapten Arsenal, Martin Odergaard memberi tuah buat pasukan Syaqif Al-Rizq untuk bergelar juara mingguan Liga Fantasi Kosmo! pada edisi kali ini.
Al-Rizq yang dikendalikan oleh pengurus, Amirul Syaqif mengakui cukup puas kerana bukan mudah untuk meraih mata tertinggi dengan saingan yang diberikan oleh pasukan lain sangat sengit.
“Ini bukanlah minggu yang mudah kerana rata-rata pasukan tidak menjadi dengan kutipan mata di bawah 100 dengan beberapa keputusan perlawanan tidak dijangka.
“Namun, pemain yang paling banyak memberi sumbangan mata sudah pastilah Erling Haaland selaku kapten dan Odegaard yang begitu menjadi sejak beberapa perlawanan lepas.
“Mungkin saya akan terus kekalkan khidmat Odegaard kerana dia telah menyumbangkan 40 mata pada tiga perlawanan terakhir,” kata peminat tegar pasukan Liverpool itu.
Strategi differential bawa impak ketara The Outside Scouser
KEPUTUSAN untuk meletakkan banyak pemain yang kurang menjadi tumpuan ramai tenyata membawa perbezaan utama buat pasukan The Outside Scouser bagi saingan minggu ke-18 Liga Fantasi Kosmo! 2022/2023.
Pengurusnya, Mohd. Rizie Fazrie Jasri mempertaruhkan tiga pemain iaitu bek kiri Manchester United, Luke Shaw, pemain sayap lincah Arsenal, Gabriel Martinelli dan bintang Chelsea, Raheem Sterling.
“Tiga pemain ini adalah ‘differential’ (kebezaan) utama saya dalam pasukan terutama Sterling yang berjaya meledak gol dan Shaw pula dapat assist serta tiga mata bonus. Martinelli juga dapat jaringkan satu gol.
“Semua pemain FPL tahu kegunaan pemain ‘differential’ kerana jika menjadi, ia boleh membantu untuk melonjakkan pasukan dalam kedudukan liga,” kata pengurus dari Sabah itu.
Peminat setia Liverpool itu bersyukur kerana strateginya menggunakan tiga pemain ‘differential’ menjadi apabila tersenarai antara lima pemenang mata mingguan tertinggi bagi minggu ke-18.
Tuah anak beri kemenangan kali kedua
DUA kali tersenarai antara lima pemenang mingguan Liga Fantasi Kosmo! 2022/2023 dalam tempoh singkat sememangnya langsung tidak dijangka oleh pengurus Muzikael FC, Muhammad Hafiz Azahar.
Pengurus berusia 26 tahun dari Banting, Selangor itu tidak mempunyai sebarang resipi rahsia dan menganggap kejayaan minggu ke-18 itu adalah rezeki anaknya, Muhammad Ziyyad Mikael yang berumur setahun empat bulan.
“Saya fikir ini rezeki anak sebab ini kali kedua saya menjadi antara pemenang mingguan selang empat minggu sahaja selepas saya menang yang pertama.
“Kalau mahu ikutkan tiada apa-apa rahsia, cumanya saya banyak pertaruhkan pemain-pemain Arsenal dan Manchester City selain penyerang Brentford (Ivan Toney),” katanya.
Hafiz yang meminati Chelsea, kini lebih bersemangat untuk menyusun strategi pemain menghadapi minggu-minggu seterusnya kerana merasakan tiada yang mustahil menjadi pemenang mingguan buat kali ketiga.