PUTRAJAYA- Sebanyak 2,024 kes demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 52/2022 berbanding 2,018 kes pada minggu sebelumnya iaitu peningkatan sebanyak enam kes atau 0.3 peratus.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, enam kematian akibat komplikasi demam denggi dicatatkan pada ME 52 berbanding satu kematian pada minggu sebelumnya.
Menurutnya, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sepanjang tahun lalu adalah sebanyak 66,102 kes berbanding 26,365 kes bagi tempoh sama pada 2021 iaitu peningkatan sebanyak 39,737 kes (150.7 peratus).
“Manakala jumlah kumulatif kematian akibat komplikasi denggi yang dilaporkan adalah 56 kematian berbanding 20 bagi tempoh yang sama pada tahun 2021, iaitu peningkatan 36 kematian atau 180 peratus.
“Sebanyak 71 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 58 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 40 lokaliti hotspot berada di Selangor, Sabah (16), Kuala Lumpur (7), Putrajaya (7), Pulau Pinang (6) selain masing-masing satu di Perak dan Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, survelan chikungunya merekodkan sebanyak 13 kes pada minggu ke-52 dengan lapan kes di Pulau Pinang, empat kes di Selangor dan satu kes di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Jelasnya, jumlah kumulatif kes chikungunya bagi tahun 2022 adalah sebanyak 814 kes berbanding 1,432 kes pada tahun sebelumnya.
“Bagi survelan zika sepanjang tahun 2022, sebanyak 2,238 sampel darah dan 18 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE