PETALING JAYA – Bukan rahsia lagi apabila penyanyi Bad Indigo mendedahkan sedang mengenali hati budi seorang wanita yang masih dirahsiakan identitinya.
Namun, timbul tuduhan tidak enak apabila segelintir netizen mendakwa Bad atau nama lengkapnya Badrul Izhan Yeop Abdullah hanya berhalusinasi bahawa wanita yang dikatakan sedang bertakhta di hatinya itu sebenarnya tidak wujud.
Bad ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, dia hairan tentang tuduhan yang dilemparkan netizen kepadanya kerana perbuatan mereka itu terang-terangan adalah fitnah dan berdosa.
“Ramai kata saya sedang berilusi. Kononnya saya ada teman wanita, sedangkan hakikatnya tiada. Kenapalah netizen terlalu ramai mahu mengumpul dosa?
“Mungkin sebab mereka mahu beri saya pahala,” katanya.
Ujar penyanyi berusia 47 tahun itu lagi, dia juga bimbang tentang netizen kerana mereka yang menuduhnya dengan tuduhan tidak berasas itu bakal terpalit dengan fitnah, satu perbuatan berdosa yang lebih daripada membunuh.
“Dah teruk sangat netizen sekarang. Mereka punya andaian itu buatkan saya risau sebab tuduhan mereka itu boleh dijadikan fitnah. Jadi bila sudah fitnah, carilah saya dekat padang Mahsyar (akhirat) nanti,” ujarnya.
Ketika disoal sama ada dirinya menyesal kerana berkongsi rasa bahagianya secara terbuka, Bad mengakui tiada sekelumit pun rasa terkilan atas apa yang dia lakukan kerana itu adalah haknya untuk berkongsi rasa gembira.
“Saya tidak kesal. Sebab Instagram saya adalah hak saya, bukan mereka (netizen) yang punya. Apa yang saya kongsikan itu adalah hak saya.
“Memang netizen punya hak untuk komen, tapi komenlah perkara yang tidak mendatangkan dosa. Tapi saya tidak kisah, sebab saya yang akan mendapat pahalanya. Teruskanlah,” tegas Bad.
Kelmarin Bad ada berkongsi foto sebahagian wajah wanita misteri yang kini sedang dikenalinya dalam Instagram bersempena tahun baharu 2023.
Namun, kewujudan wanita itu diragui sehingga netizen menuduh Bad sedang berhalusinasi. Perkara itu dimaklumkan Bad menerusi sebuah hantaran dalam Instagramnya.
“Assalamualaikum semua. Terasa nak sampaikan lagu ni. Khas untuk seseorang itu. Dia wujud tau, bukan angan-angan,” tulis Bad.
Untuk rekod, Bad mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan penyanyi Ashira pada 11 Mac 2021 selepas mereka mula rapat ketika bergelar peserta Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7).
Tetapi selepas tiga bulan mendirikan rumah tangga, pasangan itu diduga dengan masalah kesihatan Bad yang menghidap diabetes sehingga perlu memotong semua jari kaki kirinya.
Jodoh tidak panjang, mereka mengesahkan sudah bercerai pada 23 Jun lalu tanpa berkongsi lanjut punca perpisahan tersebut. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata. – KOSMO! ONLINE