KUALA LUMPUR – Seramai enam guru baharu mula berkhidmat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong, di sini hari ini.
Guru-guru tersebut dilantik bagi menggantikan enam guru dari sekolah berkenaan yang meninggal dunia dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands pada 16 Disember lalu.
Perkara itu dimaklumkan wakil guru semasa berucap di sesi perhimpunan pagi ini.
Dalam pada itu, tinjauan Kosmo! di SJKC Mun Choong sejak pukul 7 pagi tadi mendapati, suasana di sekolah kelihatan seperti biasa dengan kehadiran para murid dan guru melalui dua pintu utama.
Walau bagaimanapun, semasa sesi perhimpunan pagi, wakil guru meminta untuk semua warga sekolah bertafakur selama seminit bagi mendoakan rakan-rakan mereka yang maut dan terkesan dalam insiden tanah runtuh itu.
Wakil guru turut mengingatkan kesemua murid untuk melaporkan kepada guru bertugas sekiranya emosi mereka terganggu disebabkan kejadian malang tersebut.
“Sekiranya ada di antara kamu yang sedih boleh segera maklumkan kepada guru-guru untuk dapatkan bantuan,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Abdul Aziz Md Hashim, berkata, semua enam pengganti itu adalah guru baharu dan akan memulakan sesi persekolahan bagi 2023. – KOSMO! ONLINE