TERENGGANU FC (TFC) mahu menyelesaikan isu pemotongan 15 peratus gaji bekas pemain tonggak, Faisal Abdul Halim secara dalaman.
Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab. Rasid Jusoh berkata, pihaknya tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan agar tidak mengganggu fokus Faisal yang kini mewakili Harimau Malaya pada saingan Piala AFF.
“Liga Malaysia ini kecil sahaja dan kami tidak mahu membuat musuh dengan kenyataan bukan-bukan. Kami memberi ruang agar dia (Faisal) dapat fokus bersama skuad negara.
“Itu tugas utamanya sekarang selaku ketua pasukan Malaysia dan TFC ingin mengucapkan selamat berjaya buat Faisal dalam kempen Piala AFF tahun ini,” katanya di Kuala Terengganu semalam.
Terdahulu beliau ditemui pada majlis penajaan syarikat rangkaian pasar raya, Sabasun Hyperruncit Sdn. Bhd. berjumlah RM250,000.
Sebelum ini, Faisal yang kini berhijrah ke Selangor FC mahu mengambil tindakan perundangan selepas mendakwa gaji bulan terakhirnya bersama TFC dipotong pengurusan tanpa sebarang notis pemberitahuan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar meminta Faisal mengemukakan surat rayuan bagi membolehkan isu tersebut diselesaikan secara formal.
Dalam perkembangan lain, Ab. Rasid berkata, setakat ini TFC telah menerima tajaan RM9 juta termasuk RM5 juta dalam bentuk tunai sebagai persiapan menghadapi sepak mula musim baharu 2023.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan kos operasi pada tahun ini menjangkau RM28 juta susulan penambahan bilangan perlawanan Liga Super dan penyertaan dalam Piala AFC.
“Sebagai perbandingan, kita cuma membelanjakan RM23 juta pada musim lalu untuk skuad utama TFC, TFC II dalam Liga Premier serta skuad akademi dan program pembangunan akar umbi.
“Kami sedang giat meningkatkan penerimaan tajaan serta menambah pendapatan kelab melalui pelbagai aktiviti perniagaan,” katanya.
Ab. Rasid berkata, pendapatan utama TFC ialah hasil kutipan jualan tiket iaitu RM3.3 juta melalui perlawanan di laman sendiri sepanjang musim lalu.