KUALA LUMPUR – Kira-kira RM800,000 dana terkumpul di bawah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong, di sini, hasil sumbangan pelbagai pihak bagi membantu warga sekolah yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali.
Kejadian yang berlaku di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands pada 16 Disember lalu telah mengorbankan 31 nyawa termasuk enam orang guru, tiga murid dan dua mangsa daripada pihak pengurusan kantin dari sekolah berkenaan.
Yang Dipertua PIBG SJKC Mun Choong, U Chin Ong berkata, sumbangan yang terkumpul itu akan diagihkan kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban mereka.
“Saya dan pihak PIBG sekolah merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa dan orang ramai tak kira bangsa, agama kerana sama-sama mahu bantu SJKC Mun Choong.
“Setakat ini kita (PIBG) dapat dana lebih kurang RM800,000 dan kita akan tubuhkan satu jawatankuasa yang akan kaji bagaimana cara terbaik untuk menyalurkan bantuan sumbangan terkumpul kepada keluarga mangsa terlibat,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan SJKC Mun Choong, di sini hari ini.
Katanya, ini adalah contoh semangat rakyat Malaysia dalam membantu meringankan beban kepada golongan yang memerlukan seperti ketika mereka ditimpa bencana.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seramai 92 mangsa terlibat dalam insiden tanah runtuh di Batang Kali selain mengorbankan 31 nyawa, manakala 61 yang lain terselamat. – KOSMO! ONLINE