SABAK BERNAM – Sambutan Tahun Baru Cina tahun ini nyata suram buat keluarga mendiang empat beranak yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Hulu Selangor bulan lalu.
Tragedi pada 16 Disember itu meragut nyawa Gain Choo Yin, 35, dan suaminya, Wong Kim Yap, 34, serta dua anak mereka iaitu Wong Hao Yee, 6, dan Wong Zi Hang, setahun. Mereka ditemui dalam keadaan tertimbus di lokasi kejadian.
Ibu mendiang Choo Yin, Beh Su Lee, 59, berkata, kehilangan empat insan tersayang dalam sekelip mata masih dirasai keluarganya sehingga kini.
“Tahun baharu kali ini amat berbeza apabila anak perempuan saya, menantu dan dua cucu tidak bersama kami buat selama-lamanya.
“Saya tidak menyambut perayaan itu kerana masih bersedih dengan kehilangan Choo Yin yang tinggal bersama sejak kelahiran anak pertamanya (Hao Yee),” katanya sebak ketika ditemui di kediamannya di Taman Mutiara di sini, hari ini.
Menurut wanita itu, Choo Yin tinggal bersamanya manakala menantunya, Kim Yap yang bekerja sebagai tukang masak pula menetap di Kuala Lumpur.
Cerita Su Lee, perasaannya mula tidak tenang apabila mengetahui anak perempuannya mengikuti perkhemahan tersebut di Batang Kali.
“Saya cuba menghubungi dan menghantar WhatsApp kepada Choo Yin, namun tiada balasan dan mula mengesyaki mungkin ada sesuatu yang berlaku.
“Luluh hati saya selepas mengetahui mereka antara mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh dan terus menangis,” ujarnya.
Tambah beliau, kehilangan empat beranak itu memberi kesan mendalam apatah lagi dua cucunya itu dijaga sejak mereka lahir.
“Jika teringatkan mereka, saya akan kehilangan selera makan dan sukar melelapkan mata. Saya masih terbayangkan dua cucu bermain di halaman rumah. Ia membuatkan saya tidak kuat,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Tanjong Karang, Roseman Muhamad Damanhuri memberitahu, waris keluarga mendiang Choo Yin layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 dan Pencen Penakat berjumlah RM295.24 setiap bulan.
“Mendiang layak menerima pencen penakat selepas memenuhi syarat kelayakan penuh apabila mula mencarum dengan Perkeso pada tahun 2010.
“Walaupun mendiang tidak lagi bekerja sejak 2015, namun hasil semakan mendapati beliau layak menerima bantuan berkenaan,” katanya. – KOSMO!ONLINE