PETALING JAYA- Gigi retak dan pecah sehingga mengakibatkan kesakitan yang melampau boleh disebabkan oleh ketagihan mengunyah ais batu yang berpanjangan.
Menurut perkongsian @drdzatulhelmi di akaun TikToknya, istilah bagi mereka yang suka mengunyah ais adalah Pagophagia.
Jelasnya, tabiat mengunyah ais boleh disebabkan oleh beberapa keadaan. Antaranya ialah anemia iaitu orang yang kekurangan zat besi dalam badan.
“Pesakit yang ada anemia boleh banyakkan makan makanan yang mengandungi zat besi atau ambil juga supplemen tambahan. Boleh dapatkan nasihat pakar.
“Yang kedua tabiat ini boleh disebabkan oleh masalah mental dan pesakit digalakkan untuk berjumpa dengan pakar terapi.
“Sebab lain adalah memang tabiat seseorang itu yang ketagih mengunyah ais. Kalau nak sangat kunyah ais, cuba pilih ais batu yang kecil, yang mudah pecah atau mengunyah benda lain seperti biskut,” katanya di dalam video tersebut.
Tambahnya, mereka yang ketagih mengunyah ais sememangnya memerlukan azam yang sangat tinggi untuk berhenti.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang berdepan dengan situasi yang sama namun tidak dapat berhenti daripada melakukan tabiat itu.
“Betul tu.. dulu kuat kunyah ais batu. Tahu-tahu tengah kunyah nasi, gigi hancur,” komen seorang netizen.
“Sama macam gigi saya, kena cabut sebab terbelah dua macam dalam video ini. Saya memang kunyah ais batu, jadi tabiat dulu. Sekarang alhamdulillah dah berkurang sikit,” komen netizen yang lain pula.
Sehingga kini, video tersebut telah mendapat 3.3 juta tontonan, 107,600 tanda suka dan 8,505 perkongsian. – KOSMO! ONLINE