PELAKON meningkat naik Bollywood, Vicky Kaushal memuji isterinya yang juga aktres, Katrina Kaif sebagai wajah Bollywood global sama seperti Hema Malini dan Amitabh Bachcan.
Katanya, penggiat seni yang disebutkan itu seakan-akan mewakili dunia perfileman Bollywood di persada antarabangsa.
“Saya selalu menyatakan industri ini dikenali di luar negara kerana beberapa wajah yang kerap muncul melatari filem kita.
“Bagi saya, Katrina sudah memasuki fasa tersebut sebagaimana penguasaan Amitabh Bachchan di platform luar negara. Sebelum ini Hema Malini yang menjadi wajah global.
“Katrina sudah mencapai status itu yang saya percaya bukan mudah untuk berada pada tahap tersebut, malah dia berjaya melakukannya dengan usaha sendiri.
“Sebagai teman hidup dan penggiat seni, saya kagum serta berbangga dengan pencapaiannya. Waktu saya masih panjang untuk ke tahap itu.
“Kami saling menghormati antara satu sama lain serta sering bertukar pandangan dalam memantapkan lagi mutu lakonan,” katanya yang tampil dalam produksi Disney+ Hotstar, Govinda Naam Mera.