NEW DELHI – Seorang lelaki dari Kolkata, India menghasilkan sebuah patung silikon menyerupai mendiang isterinya sebagai tanda memperingati wanita itu yang telah meninggal dunia disebabkan Covid-19, lapor akhbar The Times of India semalam.
Tapas Sandilya, 65, berkata, patung berharga 250,000 rupee (RM13,284) itu diletakkan di dalam bilik kegemaran mendiang isterinya, Indrani, dalam keadaan ia sedang duduk di atas sofa.
Beratnya adalah sekitar 30 kilogram dan ia memakai sari yang diperbuat daripada kain serupa berasal dari negeri Assam yang dipakai mendiang ketika hari perkahwinan anak lelaki mereka.
Menurut Tapas, patung itu bukan sekadar cara dia mengatasi rasa kehilangan, bahkan ia adalah permintaan terakhir mendiang sebelum dia meninggal dunia.
“Indrani pernah memberitahu saya bahawa sekiranya dia meninggal dunia sebelum saya, dia mahu saya menghasilkan sebuah patung menyerupai dirinya.
“Dia meninggal dunia pada 4 Mei 2021 dan saya hanya memenuhi hasrat terakhirnya,” katanya.
Tambah Tapas, semua ahli keluarga tidak bersetuju dengan tindakannya yang menghasilkan patung tersebut.
“Ahli keluarga menentang idea tersebut namun, mereka terpaksa mengalah. Jika kita boleh membingkaikan gambar selepas seseorang itu mati, mengapa tidak (menghasilkan) patung?” ujarnya.
Patung Indrani dihasilkan oleh seorang pengukir, Subimal Das, yang banyak bekerja untuk menghasilkan replika silikon untuk muzium-muzium,” ujarnya. – Agensi