PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir serta hujan lebat di 10 negeri hingga 10 malam ini.
MetMalaysia dalam laman sesawangnya memaklumkan, ia melibatkan beberapa kawasan di negeri Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan (WP) Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Kedah di Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu, manakala di Perak melibatkan Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar.
“Di Kelantan pula di Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh dan Terengganu di Besut, Setiu, Dungun dan Kemaman,” katanya.
Keadaan itu juga dijangka berlaku di Pahang di daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh dan Kuantan.
“Di Selangor adalah di Kuala Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang); WP Putrajaya; Negeri Sembilan di Port Dickson, seluruh Melaka dan Johor di Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian,” ujarnya.
Cuaca di Sabah dan Sarawak diramalkan berada dalam keadaan baik pada malam ini. – KOSMO! ONLINE