OTTAWA, Kanada – Larangan terhadap warga asing daripada membeli rumah di Kanada berkuat kuasa kelmarin supaya lebih banyak kediaman dapat dimiliki oleh penduduk tempatan yang berdepan krisis perumahan.
Beberapa pengecualian dalam undang-undang berkenaan membenarkan individu seperti pelarian dan penduduk tetap yang bukan warganegara untuk membeli rumah.
Akhir Disember lalu, Ottawa menjelaskan bahawa larangan itu akan hanya melibatkan kediaman bandar dan bukan hartanah rekreasi seperti kotaj musim panas.
Langkah sementara selama dua tahun itu diusulkan Perdana Menteri Justin Trudeau semasa kempen pilihan raya 2021 apabila harga melonjak tinggi menyebabkan ramai rakyat Kanada tidak mampu membeli rumah.
“Kediaman di Kanada menarik minat pencari untung, badan korporat kaya-raya dan pelabur asing. Ini membawa kepada masalah banyak rumah yang kosong dan tidak digunakan, spekulasi berleluasa serta harga melambung tinggi. Rumah adalah untuk rakyat bukan pelabur,” katanya.
Menurut Persatuan Hartanah Kanada, harga purata kediaman susut daripada kemuncak iaitu lebih Can$800,000 (RM2,604,764) pada permulaan 2022 kepada sekitar Can$630,000 (RM2,051,252) bulan lalu.
Sementara itu, ramai pakar berkata bahawa larangan membeli rumah terhadap warga asing tidak akan dapat mencapai matlamat menjadikan kediaman lebih mampu milik. Menurut agensi statistik nasional, kurang lima peratus kediaman di Kanada dimiliki oleh pembeli asing.
Mereka sebaliknya berkata, lebih banyak rumah perlu dibina bagi memenuhi permintaan.
Agensi perumahan nasional Kanada memaklumkan pada Jun 2022 bahawa hampir 19 juta unit rumah diperlukan menjelang 2030.
Ini bermakna sebanyak 5.8 juta kediaman baharu perlu dibina atau 3.5 juta lebih banyak berbanding anggaran semasa, katanya. – AFP