SANTOS – Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino bergambar swafoto bersama rakan dan keluarga Pele di sebelah keranda pemain bola sepak itu yang terbuka di bandar raya Santos semalam, lapor portal berita Daily Mirror.
Ketua FIFA itu adalah antara beribu-ribu orang yang melakukan perjalanan untuk melawat penyerang ikonik itu yang kerandanya ditempatkan sementara di padang kelab lamanya, Santos.
Bersama ketua-ketua konfederasi bola sepak Amerika Selatan dan Brazil, Infantino adalah antara tokoh pertama memberi penghormatan kepada Pele yang dianggap sebagai pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman.
Pada Khamis lalu, Pele meninggal dunia di Hospital Sao Paulo ketika berusia 82 tahun berikutan penyakit kanser kolon yang dihidapinya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Infantino kemudiannya boleh dilihat bersama sebilangan individu lain untuk berswafoto di sebelah keranda legenda bola sepak tersebut termasuk saudara perempuannya yang dipercayai berada dalam foto itu.
Ia berlaku selepas Ketua FIFA itu dilihat menenangkan balu Pele, Marcia Aoki dan anaknya Edinho.
Menurut Daily Mirror, portal berita tersebut difahamkan semua gambar tersebut diminta oleh keluarga atau rakan Pele yang hadir di majlis penghormatan terakhir itu.
Infantino juga membuat kenyataan mengejut apabila menyeru semua 211 persatuan bola sepak kebangsaan untuk menghormati Pele dengan menamakan semula stadium bola sepak sempena dengan namanya. – Agensi