KULIM – Meskipun berdepan dengan kenaikan harga barang, seorang peniaga tetap menawarkan 14 menu hidangan pada harga RM2.90 sejak premisnya dibuka bulan lalu.
Peniaga Warung Tepi Jalan di Padang Serai, Safawi Abdullah, 47, berkata, dia menjual semua menu pada harga sama kerana mahu melakukan amal jariah bagi memastikan pelanggan dapat menikmati makanan.
“Antara menu yang dijual di gerai ini adalah nasi ayam, laksa, mi kari, mi segera tomyam, mihun dan kuetiau sup, rojak, cendol, bebola daging serta keropok lekor.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dengan ada pelanggan yang datang dari luar daerah Kulim ini,” katanya ketika ditemui di gerai tersebut yang terletak di Jalan Lagenda 11/1 di sini semalam.
Kata Safawi, pada mulanya dia hanya menjual lapan jenis menu sebelum ditambah enam lagi menu memandangkan makanan dipremisnya cepat habis.
“Ramai pelanggan merungut kerana makanan cepat habis. Sebab itu saya ajak ibu saudara isteri untuk turut sama berniaga di sini bagi menambah menu pada harga sama.
“Bahan dalam setiap hidangan adalah sama dengan yang dijual oleh peniaga lain. Contoh menu laksa, walaupun harga RM2.90 sebekas, ramuannya tetap ada telur dan kuantitinya juga sama seperti yang dijual di luar sana,” ujarnya.
Katanya, buat masa ini, gerai berkenaan diuruskan oleh isteri, Norzita Abdullah, 46, bersama ibu saudaranya memandangkan dia masih bekerja di sebuah kilang di Kulim Hi-Tech.
Sementara itu, Safawi mengakui dia tidak risau dengan rezekinya kerana hasil jualan masih mencukupi untuk modal berniaga pada hari berikutnya.
“Idea untuk menjual makanan pada harga murah ini adalah bagi meringankan beban orang ramai yang terhimpit dengan masalah kewangan selain kehilangan pekerjaan,” jelasnya.
Menurutnya lagi, ramai pelanggan meluah rasa gembira dan berpuas hati dengan makanan serta harga yang ditawarkan.
“Soal keuntungan bukan keutamaan saya, sebaliknya keberkatan yang diperoleh kerana saya seronok melihat anak-anak kecil dapat mengambil makanan kegemaran mereka,” katanya.