fbpx

Pemilik stesen minyak didakwa tipu jual diesel RM2.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMILIK sebuah stesen minyak, Hanafi Husin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas empat pertuduhan menipu ahli perniagaan dengan menjalankan bienes jual minyak diesel, Jun tahun lalu. -Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Seorang pemilik stesen minyak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan memalsukan dokumen dan memperdayakan seorang ahli perniagaan menyerahkan RM2.3 juta, Jun tahun lalu.

Tertuduh, Hanafi Husin, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, tertuduh telah menipu seorang lelaki berusia 34 tahun dengan curang memperdayanya untuk menyerahkan wang berjumlah RM2.3 juta secara tunai dan dimasukkan ke dalam akaun miliknya dengan cara menawarkan untuk menjalankan perniagaan minyak diesel secara sah.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu dengan curangnya telah menggunakan satu dokumen palsu iaitu surat persetujuan penjualan rampasan minyak diesel bertarikh 23 Mei 2022 dari pihak pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan Johor bagi memperdaya ahli perniagaan terbabit.

Mengikut pertuduhan ketiga, tertuduh menggunakan satu dokumen palsu iaitu surat sokongan perlesenan gas petroleum cecair (LPG) dari pihak Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Zon Johor untuk menipu mangsa dengan menyerahkan wang tersebut.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh menggunakan surat status kapasiti bawah tanah bagi produk diesel atau petrol dan sokongan bagi membekal RON97/diesel bagi premis kawasan perindustrian Pasir Gudang bertarikh 20 Jun lalu, dari Boustead Marketing Sdn. Bhd.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di syarikat milik tertuduh di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, di sini pada 12 Jun 2022.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Dia turut didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhayati Muhammad Fathullah manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan, namun peguam tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan yang setimpalnya.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Januari ini bagi tujuan penyerahan dokumen.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI