fbpx

Lelaki berkhemah di Tasik Gubir dikhuatiri lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba melakukan operasi mencari seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras di sungai berdekatan Tasik Beris, Sik pada semalam.

SIK – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika melakukan aktiviti memancing dan perkhemahan bersama tujuh rakan di Tasik Gubir di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu berlaku ketika mangsa dikenali sebagai Muhammad Amirul Akmal Rashid, 29, bersama beberapa rakan meredah laluan sungai untuk ke tapak khemah selepas memancing.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, mangsa bersama rakan-rakannya dikatakan telah berkhemah dan bermalam di kawasan Tasik Gubir.

“Mereka tiba di tapak perkhemahan pada pukul tujuh malam kelmarin dan bermalam di sana untuk aktiviti memancing dan menjala ikan

“Namun, pada semalam mangsa didakwa lemas ketika menggunakan laluan sungai untuk ke tapak perkhemahan,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, kejadian berlaku apabila arus sungai tiba-tiba menjadi deras menyebabkan mangsa dan lima rakan panik dan melarikan diri ke tebing.

“Mangsa gagal menyelamatkan diri akibat air sungai itu yang deras,” ujarnya.

Tambahnya, dua lagi rakan mangsa tidak berada di lokasi kerana berada di tapak khemah.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.57 petang.

“Operasi pencarian yang bermula pada semalam disambung semula pada pukul 8 pagi ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI