MONTGOMERY, ALABAMA – Seorang kru darat syarikat penerbangan American Airlines terbunuh selepas ‘disedut’ masuk ke dalam enjin sebuah pesawat yang berada di lapangan terbang dalam kemalangan ngeri di negeri Alabama, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) berkata, kakitangan terbabit meninggal dunia ketika enjin pesawat masih hidup di Lapangan Terbang Wilayah Montgomery, Sabtu lalu.
Agensi tersebut telah memulakan siasatan bagi mencari punca kejadian dan berkata bahawa laporan awal dijangka dikeluarkan dalam masa dua hingga tiga minggu lagi.
Menurut Pengarah Eksekutif lapangan terbang tersebut, Wade Davis, insiden berlaku sekitar pukul 3 petang (waktu tempatan), Sabtu lalu.
Mangsa merupakan kakitangan Piedmont Airlines, yang merupakan anak syarikat Kumpulan American Airlines.
“Kami amat sedih mendengar berita kehilangan tragis seorang pekerja American Airlines atau Piedmont Airlines.
“Kami berdiri teguh bersama ahli keluarga mangsa untuk mengharungi waktu sukar ini,” katanya.
Sementara itu, American Airlines turut meluahkan rasa sedih atas kemalangan itu dan menyatakan bahawa syarikat tersebut akan memberikan bantuan diperlukan oleh semua pihak terlibat. – AGENSI