fbpx

Kembali memartabatkan penulisan sastera Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul (kiri) dan Ummi Hani (kanan) semasa berkongsi pengalaman sebagai penulis pada majlis ilmu Rancangan Resensi Buku: Bicara Penulis: Selagi Pena Menari di Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM) Kuala Lumpur baru-baru ini.

PROFESION penulis mempunyai peranan yang sangat besar dalam mengubah masyarakat untuk melangkah ke arah lebih maju.

Pendedahan bidang penulisan terutama sastera Melayu perlu diperbanyak dalam usaha menambah minat masyarakat untuk menjadi penulis karya-karya seumpamanya.

Lantaran itu, Rancangan Resensi Buku: Bicara Penulis: Selagi Pena Menari yang dianjurkan oleh Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Bahagian Pengembangan Sastera Kanak-Kanak dan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini perlu dilihat sebagai usaha murni.

Majlis ilmu ini antara salah satu inisiatif untuk memberi pendedahan kepada golongan remaja dan pelajar universiti tentang penulisan sastera Melayu, selain menjadi wadah perkongsian pengalaman penulis kreatif.

Dua orang penulis kreatif iaitu Khairul Hafiz atau lebih dikenali sebagai Serunai Faqir dan Dr. Ummi Hani Abu Hassan dijemput untuk berkongsi pandangan mereka mengenai penulisan sastera ini.

Pengamatan tajam seseorang penulis terhadap perkara kecil dalam mengolah penulisan sangat penting untuk menjadikan sebuah karya itu berjaya.

Menurut Khairul, dirinya suka berangan dan duduk diam sambil memerhati kawasan persekitarannya.

“Saya suka berangan, tapi jangan terlalu larut dalam angan-angan tersebut. Kalau tidak, penulisan akan meleret.

“Sebagai penulis, saya sentiasa memerhatikan objek yang berada di persekitaran dan saya akan gunakan objek tersebut untuk menjadi subjek di dalam karya saya,” jelas Khairul yang turut mahir mengarang tanjak.

Meskipun penulisannya berbeza dengan genre yang sedia ada di pasaran, namun perkara itu tidak menghalang Khairul daripada terus berkarya.

“Saya tidak gemar novel berunsurkan cinta, jadi saya cuba menulis karya yang mempunyai unsur kemelayuan,” katanya yang kini menghasilkan antaranya 10 novel dan dua kumpulan cerpen, selain pernah memenangi Hadiah Sastera Cerpen Berunsur Islam 2005.

Khairul ingin mengangkat kembali seni dan kebudayaan Melayu melalui penulisan nukilannya dan berharap lebih ramai orang menghargai seni warisan Melayu.

“Perkara ini menjadi salah satu faktor kenapa saya menggunakan nama pena Serunai Faqir.

“Masih ramai rakyat yang tidak tahu akan peralatan muzik seperti serunai terutamanya generasi baharu,” tambahnya.

Mengulas lanjut, dirinya tidak terlalu terikut akan teori sastera kerana menginginkan karyanya ditulis dengan bebas tanpa ada batasan.

Dalam memartabatkan seni warisan Melayu, Khairul akui berdepan dengan cabaran antaranya cara untuk mengembangkan idea bukunya.

“Novel yang berunsurkan Melayu agak sukar untuk diketengahkan sebab ada sesetengah pembaca tidak faham kerana mereka tidak terbiasa dengan unsur Melayu tradisional.

“Dari segi teknikal pula, cabaran untuk memasarkan karya seni kita ke pasaran,” katanya yang turut menulis di aplikasi WattPad.

Sebahagian daripada warga UM yang menghadiri majlis anjuran APM dengan kerjasama DBP itu.

Berbeza dengan Khairul, Ummi mengatakan antara sebab dirinya menjadi penulis adalah dia mula menulis diari ketika umurnya menginjak 16 tahun.

“Saya suka menulis diari, curahkan segala rasa yang terpendam di dalam diari tersebut. Namun, itu sebatas untuk simpanan peribadi.

“Kemudian, saya mula mendapat ketagihan yang sangat berat sehingga menyebabkan ibu saya sorokkan novel-novel milik saya,” cerita Ummi yang juga seorang pensyarah di UM.

Ummi yang menggemari novel berplot cinta berkata, novel bergenre cinta masih kekal relevan dan selamanya akan begitu.

“Ada penulis yang berjuang menggunakan novel cinta seperti contoh Ayat-Ayat Cinta yang mana penulis berjaya melawan arus novel yang bertemakan sastera liberal.

“Namun, di sebalik novel cinta tersebut mestilah mempunyai satu hikmah yang kuat kerana penulis membawa imej Islam,” ujarnya yang telah menghasilkan 11 buah buku kreatif.

Memberi kesedaran secara berterusan dalam pelbagai medium perlu terus dilaksanakan. Jadi penulis tidak boleh berhenti menulis, tambah Ummi.

Katanya, penulis akan berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk isu yang cuba diketengahkan di dalam karya masing-masing.

“Penulis perlu ada satu media sosial dan tahu apa yang terjadi dalam kalangan masyarakat.

“Daripada media sosial, penulis boleh olahkan isu tersebut ke dalam satu bentuk tulisan yang bersesuaian dengan pembaca sasar,” tambah Ummi.

Sememangnya, penulisan sangat penting kepada budaya dan Islam sebagaimana para ulama membawa sinar Islam ke Tanah Melayu. Jika ajaran tersebut tidak dibukukan, tidak pasti Islam yang bagaimana kita sekarang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN