fbpx

Kebakaran Jakel: Bomba fokus siasatan perbuatan membakar, sisa bara api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba membawa anjing pengesan ke bangunan Wisma Jakel di Seksyen 7, Shah Alam, hari ini. -Foto AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Perbuatan membakar dan sisa bara api antara fokus utama siasatan bomba termasuk melibatkan kebakaran terbaharu di bangunan Wisma Jakel dan deretannya di Seksyen 7 di sini.

Siasatan terperinci melibatkan kemusnahan keseluruhan 16 premis syarikat tekstil itu akan mengambil masa selama 14 hari.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, tempoh itu turut meliputi keputusan analisa makmal menerusi hasil pemeriksaan menyeluruh di lokasi kejadian.

Kata beliau, pihaknya setakat ini belum dapat membuat kesimpulan mengenai punca sebenar kebakaran gedung tekstil terkemuka itu.

“Siasatan akan menumpukan sama ada wujud perbuatan membakar atau kesan bara api kecil yang masih tersisa pada fabrik atau pakaian.

“Bomba memerlukan tempoh 14 hari bagi menjalankan siasatan dan analisa termasuk mendapatkan saksi-saksi kejadian itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Pada kejadian terbaharu kira-kira 12.40 tengah malam tadi itu telah memusnahkan dua lagi premis termasuk sebuah bilik simpanan kain langsir.

Jelas Norazam, pihaknya turut menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mengesan punca kebakaran sekali gus membantu proses siasatan.

“Dua anjing yang digunakan turut berfungsi mengesan sekiranya ada minyak petrol atau sisa bara api di premis yang terbakar.

“Selain itu, kita mula membuka Pusat Kawalan Hadapan (PKH) dengan lebih 10 anggota sebagai langkah pemantauan dan berjaga-jaga sekiranya berlaku kebakaran berulang,” ujarnya.

Tegas beliau, semua orang awam tidak dibenarkan sama sekali memasuki kawasan lokasi kejadian kecuali pihak berkuasa.

“Bomba akan menjalankan kerja pemunggahan semua barangan terutama fabrik daripada premis yang terbakar.

“Kebakaran setakat ini sudah dipadamkan sepenuhnya namun langkah pemantauan menyeluruh masih diteruskan,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan kebakaran bangunan tiga tingkat di Wisma Jakel, Seksyen 7 mengakibatkan sebuah syarikat tekstil mengalami kerugian ratusan juta ringgit. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI