fbpx

Jenayah samun guna pistol Revolver di P. Pinang tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Shuhaily (kiri) ketika sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, George Town, di sini hari ini. -Foto oleh IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Polis berjaya menyelesaikan lebih 10 kes samun termasuk menggunakan senjata api selepas menahan lima lelaki tempatan dalam serbuan berasingan di Pulau Pinang baru-baru ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, penahanan geng pertama melibatkan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 30 tahun dipercayai aktif menyamun menggunakan senjata sejak awal Disember lalu.

Dua suspek itu ditahan selepas polis menerima laporan kes samun bersenjata di Bukit Mertajam pada pukul 10 malam, 9 Disember lalu.

“Suspek ditahan pada pukul 12.01 tengah malam, 1 Januari lalu di tepi jalan di Jalan Berjaya dan Taman Desa Damai, Bukit Mertajam.

“Ketika ditahan, salah seorang suspek menyimpan sepucuk Revolver .38, dua kelongsong dan tiga butir peluru. Kita tidak menolak kemungkinan, mereka mahu menyamun kedai serbaneka di kawasan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Mohd. Shuhaily memberitahu, hasil penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan enam kes samun bersenjata api di Seberang Perai Tengah (SPT).

Siasatan awal mendapati mereka menyasarkan kedai serbaneka yang beroperasi lewat malam dengan melarikan wang hasil jualan serta telefon bimbit.

Turut dirampas dua buah motosikal jenis Yamaha 125z dan SYM, sebuah kereta, dua buah telefon bimbit, sebilah parang, empat topi keledar dan dua beg silang milik suspek.

Jelas beliau, penahanan geng samun kedua pula melibatkan dua suspek lelaki tempatan berusia 24 dan 25 tahun pada 25 Disember lalu di Kepala Batas, dekat sini.

“Kedua-dua suspek ditahan  kerana disyaki terlibat kes samun kedai serbaneka di Seberang Perai Utara (SPU) dengan menggunakan parang.

“Sejumlah tiga kes samun dan satu kes curi motosikal berjaya diselesaikan melibatkan daerah SPU dan kedua-dua suspek kini direman sehingga 4 Januari ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lagi suspek lelaki berusia 30 tahun ditahan di George Town, di sini 30 Disember selepas terlibat dalam kes ragut pada 28 Disember lalu di Jalan Rafaie, Tanjung Bungah di sini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI