fbpx

Jangan malu susun pinggan, bersih meja selepas makan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amalan membersihkan meja selepas makan perlu dipraktikkan pada setiap masa. - Gambar Hiasan
MARLIA ZAKARIA,
WARTAWAN EKSEKUTIF

Setiap hari, kedai makan atau restoran menjadi salah satu tempat yang ‘wajib’ dikunjungi. Selain faktor ‘gantung kuali’, ke­perluan mencari nafkah di tempat kerja juga memerlukan kita mengunjungi tempat ini apabila tibanya masa rehat.

Bukan isu gantung kuali yang ingin penulis ketengahkan, tetapi pemerhatian penulis tentang sikap kebanyakan pengunjung restoran yang sangat kurang ke­sedaran sivik.

Benar, kita bayar untuk makan di situ, tetapi ia bukan tiket untuk kita biarkan meja bersepah begitu sahaja selepas makan dan terus berlalu pergi tanpa sekelumit pun rasa bersalah.

Situasi ini menyebabkan penulis sedikit terkilan kerana ia jelas menggambarkan sikap sombong dan pentingkan diri sendiri seseorang.

Bukan diminta untuk basuh segala, sekurang-kurangnya susun pinggan mangkuk, cawan dan kutip sisa makanan atau tisu yang sudah digunakan, letakkan di satu tempat.

Usaha yang kecil, tetapi impaknya sangat besar kepada diri sendiri kerana tindakan mencerminkan siapa diri kita, selain memudahkan pelayan membersihkan meja untuk digunakan pelanggan seterusnya.

Bagi ibu bapa, mulakan de­ngan diri sendiri, kemudian di­diklah anak-anak untuk mela­kukan perkara sama. Abaikan sindiran orang, malah lakukan dengan bangga, sekali gus ia menjadi budaya yang berjaya dipupuk dalam keluarga.

Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani, berkata, faktor utama wu­judnya tingkah laku ini dise­babkan dasar fahaman dan persepsi yang dipegang sesete­ngah masyarakat yang terikat pada amalan lama.

“Masih ramai masyarakat kita di takuk pemikiran lama yang anggap pekerja sudah ada dan dibayar gaji. Maka itu kerja mereka, sedangkan fahaman ini tidak menunjukkan tata susila dan imej diri yang tinggi hanya dengan mengemas meja makan sendiri di restoran.

“Jika mereka membuka minda dan pergi ke negara luar yang lebih maju seperti Australia atau Jepun, amalan kemas atau buang sisa makanan sendiri adalah kebiasaan yang dipraktikkan tanpa ragu,” katanya.

Katanya, amalan ini perlu dipraktikkan bagi menunjukkan nilai budaya yang semakin tinggi dan mementingkan kebersihan serta kekemasan.

“Nilai moral seseorang individu tidak akan pernah tercalar de­ngan melakukan hal ini, malahan lebih dipandang tinggi kerana ia amalan budaya kelas tertinggi.

“Kesimpulannya, biasakan yang betul dan betulkan yang biasa. Maka hidup akan lebih sejahtera,” katanya.

Jadi, sempena tahun baharu ini, penulis suka menyarankan kepada semua untuk segera pupuk budaya ini dalam diri dan keluarga masing-masing.

Tiada apa yang hendak dimalukan, malah berbanggalah kerana anda berjaya mencipta amalan yang mudah, namun berimpak tinggi dalam pembentukan akhlak sejagat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI