GAYA kita berpakaian mencerminkan identiti, personaliti dan karakter kita. Pakaian merupakan ekspresi luaran yang lahir dari dalam diri individu atau seseorang.
Kini yang pasti, paling menjadi keutamaan adalah gaya ekspresi individu. Gaya adalah luahan rasa yang menyerlahkan keperibadian si pemakainya.
Sememangnya aliran fesyen memberikan kita pelbagai panduan untuk memantapkan gaya supaya lebih menarik, yakin dan kreatif terhadap diri sendiri dan apabila berhadapan dengan masyarakat.
Paling penting, kita perlu bijak memilih. Jika berani bereksperimentasi, pilihlah rona terang dan neon trend era 80-an yang kembali popular pada musim ini. Padanan warna hitam masih boleh digunakan sebagai pelengkap gaya seperti tali pinggang, pumps atau sandal bertumit tinggi.
Sememangnya warna terang popular di pentas peragaan antarabangsa dan ia cukup trendy sekali gus menjadi aliran gaya yang boleh dijadikan inspirasi untuk penampilan dari pagi hingga malam 2023.
Seluar lebar
Rekaan seluar potongan lebar dengan perincian menarik dapat memberikan penumpuan pada bahagian bawah pinggang. Anda boleh bereksperimen dengan lipatan (pleats) tetapi elakkan lipatan yang lebar jika anda agak rendah. Pilihan fabrik satin perlu dielakkan jika anda tidak berani bereksperimentasi. Padankan seluar yang sememangnya mempunyai aura maskulin dengan blaus feminin.
Antara rekaan menarik adalah blaus diperbuat daripada sifon dengan kolar peter pan dan lengan gelembung. Untuk lebih gaya, padankan seluar rona terang dengan blaus bercorak. Anda boleh bereksperimentasi dengan kombinasi warna, tetapi jangan keterlaluan, kerana takut nampak pelik.
Blaus potongan besar
Blaus sama ada potongan longgar dan besar atau yang sama padan dengan bentuk badan hasil daripada potongan dan jahitan yang rapi dan kemas, adalah antara gaya rekaan yang penting dan menarik sealiran trend.
Pelbagai variasi potongan antaranya gaya desa (peasant) dengan lengan besar dan lengan puffed; manakala kemeja oxford pula dipotong besar dari kebiasaan. Kini, antara gaya yang paling menyerlah adalah gaya maskulin atau girly.
Reka corak flora yang ringkas adalah antara pilihan tepat untuk gaya pagi hingga malam. Sememangnya reka corak ini cukup kontemporari, segar, feminin dan romantik serta sesuai digayakan oleh semua wanita.
Gaun dan skirt
Bagi musim ini, pereka menghasilkan gaun kaya dengan dekorasi dan perincian. Gaun juga dalam pelbagai variasi warna dan mewah dengan dihiasi ropol, tatahan labuci dan manik.
Bagi yang mahukan kelainan, dapatkan gaun penuh kilauan labuci dan kristal. Ia sudah cukup berkilau dan tidak perlu penambahan barang kemas. Gaun syif berlabuci dapat menampilkan gaya anggun dan klasik serta pasti memikat sesiapa yang memandang.
Skirt kembang berkuasa untuk memberikan ilusi bentuk yang lebih menarik. Ia cukup menarik dalam rekaan pelbagai. Ia juga boleh menyembunyikan paha besar dan punggung yang lebar. Yang penting, anda perlu bijak memilih rekaan sesuai dengan bentuk tubuh.
Satin
Bagi yang gemarkan fabrik satin, untuk lebih anggun, elakkan aksesori berlebihan. Istimewanya satin ia tidak perlu aksesori berlebihan, ia indah digayakan siang hingga ke malam. Untuk lebih menyerlah keanggunannya pilih satin rona permata.
Perlu diingat, rekaan perlu sederhana untuk lebih menyerlah. Antara panduan untuk kelihatan hebat pada hari-hari penting adalah dengan membuat sedikit perubahan pada penampilan anda. Pakailah sesuatu yang selalunya anda tidak biasa pakai contohnya seperti tali pinggang atau aksesori unik.
Seri wajah
Bagi yang berkemampuan, dapatkanlah rawatan facial atau urutan wajah, ia sedikit sebanyak dapat menenang dan mengurangkan tekanan serta melambatkan proses penuaan pada wajah. Perasaan tenang dapat memberikan kita keyakinan, yang sebenarnya adalah kunci asas untuk kelihatan hebat.