fbpx

Harga maksimum minyak masak botol kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Harga minyak masak sawit tulen kemasan botol satu, dua, tiga dan lima kilogram (kg) bagi tempoh 8 Januari hingga 7 Februari depan, akan dikekalkan.

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), harga maksimum minyak masak botol itu kekal walaupun harga purata minyak sawit mentah (CPO) di pasaran dunia mengalami peningkatan pada bulan Disember 2022.

“Kerajaan ingin mengucapkan terima kasih kepada pemain industri pengeluar minyak masak sawit tulen melalui libat urus yang dijalankan telah bersetuju mengekalkan harga runcit minyak masak sawit tulen kemasan botol pada harga sedia ada sebagai usaha bersama untuk membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup.

“Kerajaan menerusi KPDN telah menetapkan harga runcit maksimum terkini bagi minyak masak sawit tulen kemasan botol di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Minyak Masak) 2022.

“Kawalan harga ini dilaksanakan mengikut kaedah harga siling bergerak berdasarkan purata harga minyak sawit mentah dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, harga runcit maksimum bagi tempoh tersebut adalah RM6.90 bagi kemasan botol 1 kg, RM13.30 (2 kg), RM19.60 (3 kg) dan RM30.90 bagi lima kilogram.

KPDN berkata, mana-mana pihak yang didapati menjual melebihi harga maksimum boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Mereka tersebut juga boleh dikenakan denda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM500,000,” tegasnya.

Dalam pada itu, KPDN turut menggalakkan pengguna untuk menjadi mata dan telinga kerajaan untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang membabitkan harga runcit minyak masak sawit tulen di pasaran secara rasmi melalui saluran Whatsapp ke 019- 279 4317 / 019-848 8000 atau Portal e-aduan.kpdnhep.

Pengguna juga boleh membuat aduan menerusi pusat panggilan 1-800-886-800, emel [email protected], Ez ADU KPDNHEP atau Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI