PETALING JAYA – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mahu Perdana Menteri menjelaskan isu Ahli Parlimen Pembangkang belum menerima peruntukan daripada kerajaan.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja yang layak menjawab isu berkenaan dan bukan individu lain termasuk Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan.
“Saya tidak perlu mendengar penjelasan dari Ahli Parlimen Hulu Langat (Mohd. Sany Hamzan). Ini kerana saya merasakan penjelasan beliau sesuatu yang tidak layak.
“Saya hanya perlukan penjelasan daripada YAB Perdana Menteri. Selamat menjaga kesihatan dan semoga cepat sembuh Hulu Langat,” tulisnya di laman Facebook hari ini.
Terdahulu Mohd. Sany dalam satu kenyataan semalam menyanggah dakwaan Shahidan yang memaklumkan kerajaan bersikap tidak adil kerana tidak memberi peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Jelas Mohd. Sany, tindakan Shahidan itu berniat jahat serta bertujuan untuk ‘memancing’ bagi menekan kerajaan agar pembangkang diberikan peruntukan sama rata melalui Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan nanti.
Mengulas lanjut, Shahidan mendakwa kebanyakan Ahli Parlimen pembangkang belum menerima peruntukan daripada kerajaan.
Ujar beliau, antara yang belum menerima peruntukan tersebut terdiri daripada Ahli Parlimen di negeri yang diterajui oleh Perikatan Nasional seperti Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Berdasarkan maklumat yang diperolehinya, semua Ahli Parlimen daripada kerajaan telah mendapat peruntukan.
“Saya menuntut hak kami sebagai Ahli Parlimen untuk diagihkan kepada rakyat. Jadi tidak wajar apabila duit kerajaan diedarkan secara tidak adil.
“Bersesuaian dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) iaitu memberi peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen,” katanya. – KOSMO! ONLINE