LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berdepan kesulitan dalam menyenaraikan skuad terbaiknya untuk turun menentang Newcastle United di Emirates awal pagi esok.
Dua pemain tonggaknya, Bukayo Saka dan William Saliba berada dalam kedudukan tidak selamat selepas kedua-dua mereka kini sudah mengutip empat kad kuning dan berdepan penggantungan pada aksi berikutnya jika mengutip satu lagi kad amaran itu.
Berdasarkan prosedur ditetapkan, mana-mana pemain yang mengutip lima kad kuning sebelum saingan memasuki perlawanan ke-19, secara automatik akan digantung satu perlawanan dan perkara tersebut adalah suatu yang tidak diinginkan oleh Arteta.
Saka dan Saliba musim ini menjadi tonggak penting Arsenal musim ini sepanjang 16 perlawanan dan The Gunners dijadual turun menentang musuh setempat mereka, Tottenham Hotspur pada aksi berikutnya menyebabkan kehilangan dua pemain itu memberi kesan besar.
Sekiranya berjaya mengakhiri perlawanan menentang Newcastle tanpa mengutip kad kuning, Saliba dan Saka masih dalam kedudukan bahaya kerana jika mereka gagal menamatkan perlawanan menentang Spurs dalam keadaan bersih.
Ini kerana, Arsenal berdepan misi besar untuk turun membalas dendam kekalahan kepada Manchester United sebelum ini apabila jadual perlawanan mereka dijangka berlangsung pada 23 Januari nanti.
Selain dua pemain berkenaan, dua lagi pemain pertahanan Arsenal, Ben White dan Gabriel Magalhaes juga perlu berjaga-jaga kerana sudah mengutip tiga kad kuning untuk memastikan mereka masih dapat diturunkan pada perlawanan menentang United. – AGENSI