LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Antonio Conte nampaknya sudah mengibar bendera putih untuk mengejar kedudukan empat teratas saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas tewas 0-2 kepada Aston Villa di laman sendiri malam kelmarin.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tottenham Hotspur itu, pasukan pelawat memastikan mereka membawa pulang tiga mata penting selepas menjaringkan dua gol menerusi Emi Buendia dan Douglas Luiz.
Conte berkata, Spurs berdepan sebuah pasukan yang memiliki benteng pertahanan cukup baik dan mereka gagal untuk memecahkan ‘tembok’ kebal itu kerana ketiadaan pemain kreatif dalam pasukan.
“Pada separuh masa pertama, kami bermain sangat baik walaupun mereka menerapkan aksi bertahan. Apabila Villa menjaringkan gol, ia membuatkan keyakinan pemain-pemain luntur sehingga menampilkan aksi mengecewakan.
“Kami tidak ada pemain yang mampu memecahkan pertahanan mereka. Spurs tidak memiliki pemain kreatif dalam pasukan pada ketika ini, jadi sukar untuk kami cari ruang menjaringkan gol,” katanya.
Justeru, Conte berharap penyokong-penyokong Spurs realistik dengan sasaran untuk menjadi pencabar kejuaraan musim ini kerana beliau menganggap pasukan itu hanya mampu bersaing merebut kedudukan kelima.
“Saya mahu berterus-terang dan beritahu kepada kelab bahawa penyokong layak untuk mendapatkan yang terbaik. Saya fikir kedudukan kelima mungkin penamat terbaik buat Spurs pada musim ini,” ujar pengendali dari Itali itu. – AGENSI